My Add

Friday, 1 June 2012

Raja Perlis bimbang perpecahan bangsa Melayu

KANGAR, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bimbang dengan perpecahan bangsa Melayu yang kini wujud dalam empat kumpulan.

Titah baginda jika tidak dibendung, tidak mustahil isu perpecahan Melayu akan menjadi lebih besar.

"Malang sekali sejak kebelakangan ini bangsa Melayu semakin berpecah, seolah-olah telah lupa slogan dalam pepatah Melayu sendiri "bersatu teguh, bercerai roboh"," titah baginda ketika merasmikan Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantek Bangun, dekat sini malam tadi.

Titah baginda, perpecahan bangsa Melayu adalah “bom jangka" bagi musuh yang bersedia untuk meletupkannya apabila tiba masa bagi memenuhi agenda kepentingan mereka.

Sehubungan itu, Raja Perlis menasihati bangsa Melayu agar kembali bersatu demi menjamin kestabilan negara selain menunjukkan kepimpinan yang baik kepada kaum lain di negara ini.

"Kita juga akan merasa malu kepada anak cucu kita jika kita tinggalkan negara dalam keadaan huru hara untuk mereka," titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Perempuan Tuanku Fauziah Abdul Rashid; Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment