My Add

Sunday 10 June 2012

Rosmah terima kunjungan adik Obama, Dr Maya

PUTRAJAYA, AHAD, 10 Jun, 2012: Penaung Program Permata Negara dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima kunjungan Dr Maya Soetoro-Ng, seorang pakar pendidikan dan adik perempuan tiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.

Dalam pertemuan itu, Rosmah dan Soetoro-Ng berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan progam pendidikan khususnya yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

Soetoro-Ng kini dalam rangka lawatan enam hari ke Malaysia mulai Rabu lepas sebagai sebahagian daripada delegasi East-West Centre dari Amerika Syarikat.

Beliau, antara lain dijadual mengadakan perbincangan mengenai pendidikan dan bertemu pelajar dan ahli akademik dari kolej-kolej Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan program pendidikan awal kanak-kanak PERMATApintar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment