My Add

Sunday 10 June 2012

AES bakal dilaksana menjelang akhir tahun ini: Rahim

KUALA LUMPUR, AHAD, 10 Jun, 2012: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dijangka dilaksana sepenuhnya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri. 

Beliau berkata, sistem yang sepatutnya dilaksana awal tahun ini terpaksa ditangguh kerana kementerian perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal dan perundangan bagi memastikan pelaksanaan AES berkesan.

"Kita tak mahu laksanakan terburu-buru kerana tidak mahu nanti sistem itu tidak berkesan dan akan menimbulkan pelbagai masalah," katanya.

Abdul Rahim berkata, pelaksanaan AES diharap dapat membantu mendisiplinkan pemandu dan meningkatkan persepsi keberangkalian ditangkap sekali gus membawa kepada amalan pemanduan yang lebih berhemah. 

Beliau berkata, ini kerana AES akan menggunakan kamera berteknologi tinggi untuk menangkap pesalah peraturan lalu lintas, termasuk tidak berhenti pada isyarat lampu merah dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan. 

AES yang banyak diguna di negara maju, pada asasnya adalah satu sistem kamera dipasang di kawasan sering berlaku kemalangan bagi mengesan pemanduan laju dan di persimpangan lampu isyarat bagi mengesan mereka yang melanggar lampu merah. 

Abdul Rahim bagaimanapun berkata, penguatkuasaan hanya langkah tambahan untuk mengurangkan kemalangan kerana yang penting adalah kesedaran pengguna jalan raya sendiri. 

"Di negara maju misalnya aspek pendidikan, jati diri dan disiplin sebenarnya punca kejayaan mereka mengurangkan kemalangan dan bukan semata mata kerana penguatkuasaan," katanya. 

Katanya, ibu bapa dan penjaga harus bertanggungjawab terhadap anak-anak di bawah jagaan mereka supaya tidak terbabit dengan kegiatan lumba haram dan rempit. 

Pada masa sama mereka juga tidak harus membenarkan anak-anak di bawah jagaan mereka memandu tanpa lesen serta menunggang motosikal tanpa memakai topi kaledar. 

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, hasil daripada pelbagai program kesedaran dan intervensi yang dijalankan oleh kerajaan, kadar kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar sejak 10 tahun lalu menurun daripada lima kepada tiga orang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment