My Add

Sunday 10 June 2012

Seluruh negara terima kesan positif pembangunan di Johor

MUAR, SABTU, 09 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seluruh negara akan menerima kesan positif daripada limpahan pembangunan yang sedang rancak berlaku di Johor pada ketika ini. 

Katanya, pembangunan berbilion ringgit di Johor juga membuktikan Johor dan Malaysia tetap menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asean bagi pelabur-pelabur dalam negara dan asing.

"Minat pelabur untuk datang ke Johor dan Malaysia masih kuat, menjadikan kita sebagai destinasi pelaburan yang utama di Asean. Kita percaya pertumbuhan yang pesat di Johor akan membantu pertumbuhan negara secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program 'Kasihi Pekebun Risda Negeri Johor' di Dataran Sarang Buaya di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembangunan rancak di Johor akan membantu negara mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6 peratus bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai negara maju pada 2020. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment