KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan mengemukakan usul kepada kerajaan agar pelaksanaan gaji minimum dapat diperkenalkan kepada penggiat seni di negara ini.
Presiden Seniman Rozaidi Jamil, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, berkata, persatuan itu bercadang mewujudkan satu sistem mengikut gred supaya penetapan gaji berkenaan dapat dilakukan mengikut standard tertentu dan tidak berat sebelah.
Katanya, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan persatuan yang lain untuk melihat mekanisme atau formula yang sesuai dalam menentukan gred berkenaan.
"Mereka akan dinilai dari pelbagai sudut termasuk pendidikan akademik, pengalaman serta kelayakan tertentu, dan ini sekali gus dapat menyelesaikan masalah pembayaran gaji kepada artis muda yang dikatakan lebih tinggi berbanding artis veteran," katanya ketika ditemubual dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24.
Zed Zaidi, yang baru dilantik sebagai Presiden Seniman bagi penggal 2012-2015, berkata, persatuan itu juga akan mengemukakan usul untuk mendapatkan peruntukan bagi membolehkan Seniman menjadi badan royalti kepada pelakon.
Beliau berkata, peruntukan berbentuk insurans berkelompok itu akan membolehkan pelakon memperoleh royalti sepanjang filem mereka ditayangkan dan berfungsi sebagai pencen mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment