My Add

Tuesday 26 June 2012

SPA kumpul maklumat tarik bukan Melayu sertai sektor awam

JOHOR BAHRU, SELASA, 26 Jun, 2012: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedang melakukan kajian mengenai isu kekurangan kaum bukan Melayu menyertai sektor awam, dalam usaha menarik lebih ramai kaum itu berkhidmat di sektor tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam berkata kajian dilakukan dalam tempoh tiga bulan dan menggunakan pelbagai pendekatan seperti sesi interaksi dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin tempatan, turun padang ke sekolah jenis kebangsaan serta menyalurkan lebih banyak maklumat mengenai kerjaya di sektor awam menerusi media berbahasa Cina dan Tamil.

"Mengikut rekod tahun lepas, permohonan daripada kaum bukan Melayu di dalam sektor awam masih kecil. Ini kerana daripada 1.12 juta keseluruhan permohonan, sebanyak 893,292 atau 79.5 peratus daripadanya adalah kaum Melayu, 23,547 atau 2.1 peratus adalah kaum Cina manakala 36,729 atau 3.27 peratus adalah kaum India," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan sistem permohonan mesra pelanggan dengan membolehkan pemohon memilih sehingga maksimum 15 jawatan untuk dipohon berbanding lima sebelum ini.

Sebagai memudahkan calon untuk menghadiri temu duga pula, SPA melaksanakan kaedah alternatif dengan mengadakan sesi temu duga pada waktu malam dan hujung minggu yang membolehkan calon memilih waktu temu duga yang sesuai dengan mereka.

"SPA berharap kajian dan pengumpulan maklumat yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri itu kelak akan dapat membantu kerajaan meningkatkan bilangan penjawat awam bukan Melayu kerana kita tidak mahu sektor awam dimonopoli hanya satu kaum.

"SPA selepas ini akan ke Sabah bagi menjalankan sesi interaksi yang sama sebagai usaha menggalakkan penyertaan rakyat di negeri itu di dalam kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment