My Add

Tuesday 26 June 2012

Lebih 200,000 bekas tentera tidak terima pencen: Zahid

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun, 2012: Seramai 202,675 bekas tentera di seluruh negara tidak mendapat pencen kerana mereka menamatkan perkhidmatan lebih awal daripada yang ditetapkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sungguh pun begitu, kebajikan mereka tetap diberi perhatian oleh kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia(JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

"JHEV dan PERHEBAT menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada veteran tentera yang bersara kurang daripada 21 tahun perkhidmatan untuk meringankan kos sara hidup mereka seperti skim bantuan kebajikan dan pendidikan serta bantuan sara hidup," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani), di sini.

"Justeru kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan kupon makanan bulanan kepada bekas tentera yang tidak mendapat pencen kerana apa yang kita berikan ini jauh lebih baik kerana ia merupakan bantuan yang bersifat jangka panjang daripada pemberian kupon makanan yang bersifat sementara," katanya. 

Ahmad Zahid berkata, bantuan yang diberi kerajaan kepada pesara tentera di negara ini juga jauh lebih baik jika dibanding dengan beberapa negara lain. 

"Secara perbandingan Amerika Syarikat dan Australia hanya memberikan bantuan kepada pesara tentera itu saja dan bukan kepada isteri atau anak-anak mereka," katanya. 

Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga tidak bercadang memberi pembayaran sekali gus atau "one off payment" kepada pesara tentera. 
Ia kerana, katanya, tindakan itu juga bersifat sementara berbanding bantuan berterusan yang disediakan kepada mereka ketika ini. 

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang beliau anggap sebagai "tangan-tangan kotor" supaya tidak menghasut bekas tentera supaya memberi tekanan kepada kerajaan. 

"Tangan-tangan kotor itu telah wujud di Dewan ini...jangan guna kesempatan di waktu hampir pilihan raya untuk pujuk bekas tentera supaya tidak puas hati dengan kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment