My Add

Friday, 22 June 2012

SPRM akan panggil Anwar, 3 individu lain

Mustafar Ali 
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
SHAH ALAM, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan akaun berjumlah RM3 bilion yang melibatkan dirinya ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tiga individu terbabit ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin dan bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris.

Sinar Harian memetik Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali sebagai berkata, mereka akan dipanggil sekiranya SPRM mempunyai maklumat baru yang membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.

“Kita tidak akan membuka semula kertas siasatan yang diarahkan tutup oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Namun, sekiranya terdapat maklumat baru yang signifikan terhadap kes tersebut, kertas siasatan akan dibuka semula,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya sama ada SPRM mempunyai maklumat baru untuk membuka semula siasatan tersebut, Mustafar menjawab: “Buka kes atau pantau kes, saya tidak boleh dedahkan,” katanya.

Baru-baru ini, Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM meminta SPRM membuka semula kes siasatan terhadap Azmin yang didakwa memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai serta cek.

Azmin ketika itu adalah penjawat awam dan menjadi Setiausaha Politik kepada Anwar antara 1995 dan 1997.

Raja Petra melalui portalnya, mendakwa Anwar kemudiannya mengarahkan BPR pada masa itu, menutup siasatan tersebut.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid pula dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam pendedahannya, kira-kira 13 tahun lalu.

Kelmarin, Abdul Razak mendakwa beliau membuat akuan bersumpah (SD) pada tahun 2003 atas permintaan Anwar bagi membersihkan nama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhubung pemilikan akaun tersebut.

Anwar dan Azmin merelakan SPRM menyiasat jika agensi tersebut mempunyai bukti baru untuk membuka semula kes terbabit.

No comments:

Post a Comment