My Add

Monday 4 June 2012

Suhakam pantau PRU13

G MANIMARAN dan ARHIZA AHMAD
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Jun, 2012: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memantau perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak asasi semua pihak, termasuk pengundi.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, pihak berkuasa, media termasuk parti politik akan dipantau bagi memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak asasi pengundi.

Menurutnya, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan ia akan diputuskan sebelum pilihan raya nanti.

Katanya, disebabkan masalah kemudahan dan sumber tenaga pihaknya akan mengadakan pemantauan secara umum melainkan jika ada kes-kes tertentu dan aduan yang memerlukan tindakan pihaknya.

Jika cadangan itu menjadi kenyataan, ini kali pertama Suhakam, yang ditubuhkan 12 tahun lalu, memantau satu pilihan raya umum.

“Kami akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Suhakam mengadakan beberapa siri pemantau dalam pilihan raya kecil sebelum ini termasuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, dan ia bukan kali pertama dilakukan.

“Tujuan Suhakam melaksanakan pemantau itu bagi memastikan kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan dan akses kepada maklumat dan hak kepada keselamatan berkaitan pilihan raya dilaksanakan dengan adil,” katanya dalam pertemuan bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online di pejabatnya di sini Jumaat lalu.

Sebelum ini satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) telah memantau perjalanan pilihan raya di negara ini.

Badan pemantauan tersebut mendakwa mereka bergerak secara profesional bagi memastikan mereka tidak dipengaruhi atau berpihak kepada mana-mana parti politik.

Hasmy berkata, walaupun tiada sebarang laporan diterima sepanjang pemantau yang dilakukan dalam pilihan raya kecil, tetapi pemantau dilihat perlu bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya berlaku pencabulan hak asasi manusia.

Katanya, Suhakam yakin pihak SPR mampu menguruskan pilihan raya itu, bagaimanapun ia harus mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan hak asasi manusia.

“Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak walaupun ada tuduhan yang menyatakan Suhakam memihak kepada kerajaan dan begitu juga sebaliknya.

Berdasarkan spekulasi, PRU13 kemungkinan diadakan dalam waktu terdekat. Ada yang meramalkan awal Julai ini ataupun September. Mandat kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

No comments:

Post a Comment