My Add

Monday 4 June 2012

SWP tidak mesra BN - Najib

JULAU, AHAD, 03 Jun, 2012: Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditubuhkan baru-baru ini tidak boleh mendakwa mereka adalah sebuah parti yang mesra Barisan Nasional (BN) jika meletakkan calon menentang BN, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Pengerusi BN menyifatkan dakwaan SWP itu tidak mempunyai logik selain tidak rasional dan konsisten.

Katanya, sama ada SWP menyertai BN atau tidak bukannya satu persoalan kerana apa yang lebih penting ialah mereka perlu menyokong BN sebelum membuat dakwaan sedemikian.

“Kalau nak kata mesra BN, apa salahnya dia sokong calon BN, kalau dia menentang maknanya tindakannya bertentangan dengan apa yang diluahkan mereka.

“Apa yang penting ialah mereka menyokong BN, jika tidak undi akan berpecah dan kita tidak boleh menerimanya, itu mesej kita kepada rakyat Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ngabang Hari Gawai di Rumah Panjang Jana Saweng, di sini hari ini.

Presiden SWP, Larry Sng mendakwa parti yang ditubuhkan bulan lalu itu akan mesra BN tetapi bakal meletakkan calon menentang komponen BN negeri, Parti Rakyat Sarawak (PRS) di enam kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Enam kerusi Parlimen yang menjadi milik PRS itu ialah Lubok Antu, Sri Aman, Hulu Rajang, Kanowit, Julau dan Selangau.

“Kita akan mesra kepada komponen BN yang lain dan bersedia untuk bekerjasama dengan mereka," kata Sng selepas Perhimpunan Agung Pertama SWP, 28 Mei lalu.

Sng, 33, ialah bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus selama dua penggal di atas tiket PRS sebelum dipecat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment