My Add

Thursday 28 June 2012

Teroka bidang ekonomi baru

*NAJIB bersalaman dengan Alpha Conde ketika menerima kunjungan Presiden Guinea itu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA

Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, RABU, 27 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kesungguhan kerajaan Guinea untuk sama-sama meneroka bidang ekonomi baru yang berpotensi di negara tersebut mampu menarik minat dan pelaburan sektor swasta di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, faktor itu ditambah pula dengan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan Guinea serta komitmen Presidennya, Profesor Alpha Conde untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelabur selain pematuhan undang-undang.

Katanya, jumlah dagangan antara Malaysia dan Guinea menyaksikan peningkatan daripada RM85.05 juta (AS$28.35 juta) pada 2010 kepada RM223.47 juta (AS$74.49 juta) tahun lalu iaitu sebanyak 262 peratus.

Menurut Najib, perlombongan merupakan antara bidang ekonomi yang berpotensi diterokai pelabur Malaysia kerana Guinea kaya dengan sumber asli seperti uranium, berlian dan minyak selain bidang pertanian, perikanan, pengangkutan awam dan pembinaan.

''Guinea juga memerlukan teknologi baru yang boleh disalurkan syarikat-syarikat Malaysia, termasuklah peralatan pertanian moden, teknologi maklumat serta sistem kewangan dan perbankan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Conde selepas mesyuarat dua hala selama lebih sejam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut diadakan sempena lawatan rasmi pertama Conde ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengajian tinggi yang mana Malaysia diwakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala Menteri Kerjasama Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Koutoub Moustapha Sano mewakili Guinea.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib menyeru sektor swasta melihat secara lebih serius peluang-peluang pelaburan baru di negara bekas jajahan Perancis itu.

''Saya menggalakkan pelabur sektor swasta negara ini melihatnya dengan serius dan berharap ia dapat menjadi kenyataan di masa depan," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia berkongsi dengan Guinea pengalaman dan cabaran yang pernah dihadapi dalam membangunkan negara.

''Kita rasa terharu dengan keinginan Guinea untuk melihat secara mendalam pengalaman dan cabaran yang pernah kita hadapi dalam membangunkan negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment