My Add

Sunday 10 June 2012

Tolak Anwar untuk selamatkan negara

*EZAM Mohd. Noor (tengah) berbincang sesuatu dengan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dali Hussin (kiri) pada Program Ceramah ‘Sumpah Keramat TIBAI 2012’ di Dewan UMNO Negeri Kelantan, semalam.

KOTA BHARU, SABTU, 09 Jun, 2012:Rakyat perlu sedar tindakan mereka menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya akan datang adalah untuk menyelamatkan negara daripada pengkhianatan yang telah dilakukan oleh ketua pembangkang itu.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan saat paling tepat untuk rakyat menyingkirkan Anwar yang telah melakukan pengkhianatan besar terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, antara pengkhianatan yang dilakukan oleh Anwar adalah sering memburukkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa khususnya Indonesia sehingga rakyat negara jiran itu sanggup melontar bangunan kedutaan Malaysia dengan najis dan sebagainya.

"Dia (Anwar) lanyak kita di Indonesia, orang Indonesia pergi kedutaan letak najis, bakar, tak pernah berlaku dalam sejarah termasuk semasa konfrontasi Soekarno. Tak pernah kita dihina macam itu.

"Kenapa berlaku, sebab ada pemimpin bangsa kita sendiri yang hina kita, bangsa kita, negara kita," katanya.

Beliau menegaskan demikian pada ceramah Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) di bangunan UMNO negeri di sini semalam.

Mohamad Ezam berkata, semasa di Indonesia Anwar sentiasa memburukkan imej negara termasuk menuduh kerajaan zalim.

"Dia juga pengkhianat apabila mengeluarkan kenyataan tentang Israel. Hanya kerana dendam kesumat dan peribadi, dia khianat umat dan agama Islam.

"Dia (Anwar) tahu tak boleh jadi perdana menteri, jadi dia rosak dan mahu ranapkan negara dengan menganjurkan Bersih 3.0," katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, pengkhianatan yang dilakukan oleh Anwar mesti dilawan secara bersungguh-sungguh dengan memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

"Ini bukan soal UMNO, BN atau pakatan rakyat tetapi ini pertarungan dengan pengkhianat yang nak rosakkan negara.

"Agenda Anwar adalah untuk meranapkan negara, bukannya untuk pilihan raya yang adil," katanya.

Mengenai sikap Anwar yang dilihat berdiam diri daripada menjawab pelbagai isu membabitkannya termasuk dakwaan pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion, Ezam berkata, Anwar akan terus berdiam diri daripada menjawab pelbagai tuduhan terhadapnya kerana tidak mahu kisah lamanya terbongkar.

Menurut beliau, ini kerana orang ramai terutama anak-anak muda yang ghairah untuk bersama Anwar tidak tahu siapa sebenarnya ketua pembangkang itu semasa beliau berkuasa.

"Dia tidak akan menjawab, dia tidak mahu buka kisah lama semasa dia berkuasa sebab ia akan melahirkan, mempamerkan imej dia yang sebenarnya.

"Sebab itu masa dia berkuasa, apa yang dia telah buat kepada sekolah Cina, pemberian projek berjumlah RM15 bilion tanpa tender, tentunya Anwar tidak mahu kisah lama dibongkar kembali.

"Sebab itu Anwar sebaik mungkin mahu menghindarkan diri daripada masyarakat korek balik atau melihat balik semasa dia berkuasa, apa yang dia lakukan.

"Dia tidak mahu isu ini berpanjangan, sebab itu dia tidak mahu jawab, tidak mahu panjangkan.

"Biasalah sebab ia tidak akan menguntungkan dia kerana akan membongkar siapa sebenarnya Anwar," katanya.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat itu berkata, sekiranya semua dakwaan tidak betul, Anwar sepatutnya mengambil tindakan undang- undang bagi membersihkan namanya kerana tuduhan itu serius.

Beliau bagaimanapun berkata, sebenarnya bukan mudah untuk memahami siapa sebenarnya Anwar yang tidak lagi mempunyai moral untuk memperjuangkan kebenaran atau perubahan dalam negara.

"Mesej yang penting dalam episod- episod ini adalah pada golongan muda sekarang ini yang ghairah bersama Anwar, mereka tidak tahu siapa sebenarnya Anwar.

"Mereka seharusnya mengambil kesempatan ini untuk mengkaji setiap dakwaan ini," katanya. - UTUSAB

No comments:

Post a Comment