KEPALA BATAS, SABTU, 09 Jun, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyambut baik cadangan kerajaan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, beliau percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat memahami keperluan rakyat.
"Kalau kerajaan nak beri bantuan lagi (BR1M) dan ada kemampuan, ia sesuatu yang baik dan sememangnya untuk kepentingan rakyat terutama mereka yang kurang berkemampuan.
"Kerajaan sekarang memang sentiasa membantu rakyat dan percaya Perdana Menteri (Najib) tidak mahu rakyat hidup dalam kesusahan dan sentiasa berusaha membantu mereka," kata Abdullah kepada pemberita selepas merasmikan mesyurat Agung Tahunan Persatuan Qaryah-Qaryah Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Abdullah mengulas cadangan untuk meneruskan BR1M pusingan kedua yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, dua hari lalu.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bantuan itu boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan memperoleh peningkatan sumber pendapatan termasuk penambahan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sehingga kini, dianggarkan seramai 4.78 juta orang menerima manfaat daripada pengagihan BR1M membabitkan jumlah peruntukan kerajaan sebanyak RM2.6 bilion.
Abdullah berkata, rakyat harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada mereka kerana kerajaan tidak mahu rakyatnya hidup dalam kesusahan dan sentiasa memikirkan yang terbaik untuk mereka. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment