My Add

Sunday 10 June 2012

Sistem pembantu rumah tempatan dikaji: Maznah

KUALA LUMPUR, SABTU, 09 Jun, 2012: Kerajaan akan mengambil kira potensi dan keupayaan warga tempatan dalam perancangan untuk melaksanakan sistem khidmat pembantu rumah tempatan bagi mengurangkan pergantungan terhadap khidmat tenaga asing. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata perancangan itu akan membabitkan skop kerja, jenis latihan dan kebajikan pembantu rumah tempatan jika ia dilaksanakan.

"Kita akan lihat jenis kerja macam mana yang perlu dan boleh dilakukan oleh pembantu rumah tempatan selain adakah perlu melakukan sistem di mana pembantu rumah tempatan perlu tinggal bersama majikan atau tidak," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Semai Kasih dan Pengiktirafan Usahawan Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) di sini hari ini, Maznah berkata perancangan itu juga antara lain akan menjenamakan semula nama pembantu rumah yang dilihat kurang sesuai. 

Pada 3 Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, memaklumkan pasaran tempatan memerlukan 100,000 pembantu rumah dari Indonesia selepas pembekuan terhadap penghantaran pembantu rumah dari negara itu ditarik balik oleh kerajaan Indonesia baru-baru ini. 

Sementera itu, Maznah berkata kerajaan juga mengiktiraf golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui peruntukan sebanyak RM22 juta geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan (SBGP-OKU) di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9). 

"Semenjak 2007 hingga kini, hampir RM20 juta telah disalurkan kepada pemohon geran ini yang mana ia telah dimanfaatkan oleh 698 pemohon.

"SBGP-OKU juga sudah memberi peluang pekerjaan kepada 1,524 OKU di mana antara syarat untuk memohon geran ini adalah perlu untuk pemohon mengaji rakan OKU selain operasi peniagaan atau perusahaan mestilah telah melebihi tiga bulan," katanya. 

Maznah berkata, oleh kerana SBGP-OKU berjaya dalam membantu dan memberi peluang kepada golongan itu untuk mempunyai pendapatan sendiri hasil suntikan dana daripada kerajan maka adalah wajar untuk geran tersebut mendapat peruntukan secara berterusan. 

"Projek SBGP-OKU akan diteruskan di bawah RMK-10 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi setiap dua tahun yang akan diberikan oleh kerajaan semasa kementerian memperbaharui permohonan peruntukan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment