My Add

Monday 11 June 2012

Tun Hanif tertakluk kepada pemerhatian awam

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Seorang penyokong kerajaan hari ini berkata Tun Haniff Omar tertakluk kepada pemerhatian awam dalam menjalankan tugasnya sebagai pengerusi Panel Penasihat Bebas bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan di Kuala Lumpur berikutan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lalu. 

Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) berkata beliau yakin perjalanan proses kerja panel berkenaan akan dilakukan secara terbuka dan boleh dipantau oleh orang ramai.

"Akhirnya nanti kita akan mengkritik kalau berlaku penyelewengan, pilih kasih atau tidak adil dalam laporan yang dibuat oleh panel ini. Tapi sekarang ini walaupun Tun Hanif adalah bekas ketua polis dan mempunyai pandangan dalam beberapa isu saya kira kita perlu beri peluang kepada beliau," katanya ketika mencelah perbahasan Rang Undang-undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2012 oleh Gobind Singh Deo (Dap-Puchong) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini.

Abdul Rahman berkata walaupun Hanif mungkin mempunyai bentuk pemikiran seperti pegawai polis, namun kredibiliti beliau sebagai pengerusi perlulah dihakimi berdasarkan proses kerja panel berkenaan. 

Terdahulu, Gobind Singh mempersoal kenapa Hanif yang pernah menjadi Ketua Polis Negara dipilih menerajui sebuah panel yang dikatakan bebas untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai kekecohan di Kuala Lumpur pada 28 April. 

"Orang yang sama jadi pengerusi ini (Hanif), dua minggu sebelum itu telah mengatakan taktik orang yang menganjur perhimpunan berkenaan ala komunis," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment