My Add

Monday 11 June 2012

Kerajaan tanggung kos RM1.8 juta akibat BERSIH 3.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 11 Jun, 2012: Kerajaan menanggung kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta akibat daripada penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Hishammuddin bagimanapun tidak menyatakan butiran kos yang ditanggung oleh kerajaan ekoran perhimpunan itu.

Hishammuddin juga berkata sebanyak 967 'tear gas' telah digunakan pada perhimpunan haram itu termasuk 909 butir 'shell tear smoke dan 58 butir grenade tear smoke' ketika menyuraikan perhimpunan itu.

Fong ingin mengetahui jumlah tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis yang bertugas mengawal perhimpunan itu dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. 

Dalam soalan lain Fong juga ingin tahu jumlah pegawai polis yang dikenal pasti melanggar tatatertib pada perhimpunan berkenaan dan adakah mereka telah diambil tindakan serta garis panduan operasi (SOP) terperinci yang diarahkan kepada pegawai bertugas. 

Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak melalui SOP yang telah ditetapkan bagi tujuan mengawal keadaan daripada menjadi lebih ganas sehingga boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam semasa perhimpunan itu. 

"Pada masa yang sama, pihak polis perlu bertindak dengan cepat bagi memastikan keadaan terkawal," katanya. 

Beliau berkata pihak kementerian memandang serius akan sebarang pelanggaran SOP yang telah ditetapkan justeru anggota yang terlibat tidak akan terlepas dengan tindakan undang-undang. 

"Selain itu, perkara ini akan turut disiasat dengan lebih teliti melalui penubuhan Jawatankuasa Panel Penasihat Bebas yang dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar. 

"Sekiranya terdapat mana-mana anggota keselamatan terbukti bersalah melanggar SOP yang telah disediakan, tindakan undang-undang akan tetap diambil terhadap anggota berkenaan," katanya. 

Beliau berkata dua anggota polis telah didakwa di mahkamah kerana mengambil tindakan di luar garis panduan SOP semasa perhimpunan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment