My Add

Tuesday 26 June 2012

Usaha kukuhkan institusi keluarga

*NAJIB Tun Razak menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Negara yang baru, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa di pejabatnya di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun , 2012:Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia mulai tahun ini, bagi mengukuhkan institusi keluarga dalam pembangunan sosio ekonomi negara terutama menerusi sektor swasta.

Perdana Menteri berkata, perkara itu selari dengan 'Gerakan 1Malaysia Family First' di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy) yang diumumkan pada 17 Jun lalu.

Selaras dengan itu, kata beliau, syarikat swasta yang menganjurkan acara 'Hari Keluarga' untuk para pekerja mereka pada tempoh tersebut akan diberikan rebat atau potongan 100 peratus bagi semua perbelanjaan keraian.

"Pepatah Melayu ada mengatakan 'mana sungai tiada berhulu' yang mana institusi keluarga menjadi asas kehidupan semua manusia di muka bumi.

"Menyedari hakikat ini, kementerian amat menitikberatkan pengukuhan institusi keluarga kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan sesebuah negara," katanya ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Zuraida mempersoalkan tentang perancangan baru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setelah portfolio itu dipangku oleh Perdana Menteri sejak April lalu.

Najib menambah, kementerian mensasarkan seramai 200 pengarah wanita akan dilatih menjelang Disember ini dalam Program Pengarah Wanita bagi meningkatkan penyertaan kaum Hawa dalam kumpulan penggubal dasar.

Beliau berkata, latihan itu dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal wanita dalam melaksanakan peranan golongan itu antaranya sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat senaraian awam dan setakat ini, seramai 20 pengarah wanita berkaliber telah dilatih sejak Februari lalu.

"Selain itu, insentif potongan cukai berganda akan diberikan ke atas perbelanjaan latihan oleh syarikat-syarikat terbabit mulai tahun taksiran 2013," katanya.

Katanya, segala insentif serta program dilaksanakan kerajaan telah menampakkan hasil membanggakan apabila bilangan wanita yang menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) meningkat begitu ketara daripada 18.8 peratus pada 2004 kepada 31.7 peratus tahun lalu.

Menurutnya, wanita yang menyandang jawatan hakim mahkamah sivil pula meningkat kepada 34.4 peratus tahun lalu berbanding 22.3 peratus pada 2008 sementara Ketua Pengarah wanita di peringkat Persekutuan pula meningkat daripada 11.8 peratus pada 2007 kepada 20.7 peratus tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau mengakui penyertaan kaum wanita sebagai penggubal dasar masih kurang dalam institusi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

"Saya juga melihat bahawa di peringkat pihak berkuasa tempatan perlu menambah keanggotaan wanita dan akan membuat saranan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk menambah keanggotaan wanita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment