My Add

Saturday 2 June 2012

Zizan juara sulung Super Spontan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 01 Jun, 2012: Seperti yang diramal banyak pihak, pelawak terkenal, Zizan Razak dipilih sebagai juara sulung program permainan realiti komedi, Super Spontan pada malam kemuncak berlangsung di Hulu Kelang, di sini malam ini.

Dengan gelaran itu, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abd. Razak, 28, menewaskan lima finalis lain dan membawa pulang sebuah kereta Toyota Camry berserta wang tunai sebanyak RM100,000.

Naib juara dimenangi oleh Johan atau nama sebenarnya, Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz, 27, yang membawa pulang wang tunai RM50,000.

Manakala tempat ketiga pula menjadi milik Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 36, yang menerima wang tunai sebanyak RM25,000

Hadiah telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Pada pertandingan akhir tersebut, Zizan berdepan dengan saingan yang cukup sengit terutama daripada teman baiknya, Johan dalam program yang menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sepenuhnya itu.

“Terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh semua pihak kepada saya. Sesungguhnya, menyertai Super Spontan bukanlah sesuatu yang mudah dan ia benar-benar mencabar minda.

“Secara tidak langsung, rancangan ini juga menguji keberkesanan lawak secara spontan setiap daripada mereka yang bertanding dalam menjadi seorang pelawak profesional," kata Zizan selepas program berakhir.

Tiga finalis lain yang layak ke pertandingan akhir itu termasuklah Rahim, Suhaimi dan Ropie yang turut menghiburkan hadirin dengan gelagat dan aksi bersahaja mereka.

Program permainan komedi yang seumpamanya diterbitkan oleh Astro itu menyaksikan kesemua finalis perlu melibatkan diri dalam lima permainan yang disediakan.

Super Spontan yang turut disiarkan menerusi Astro Warna itu merupakan sebuah rancangan yang formatnya diambil daripada rancangan Spontan sebelum ini.

Bezanya Super Spontan menampilkan dua kumpulan yang terdiri daripada pelawak dan selebriti dan bersaing bagi merebut gelaran juara setiap minggu yang ditentukan melalui undian SMS penonton.

Pasukan yang tewas setiap minggu akan memasuki pusingan penyingkiran di mana salah seorang peserta dalam kumpulan yang tewas akan disingkirkan berdasarkan undian daripada setiap ahli kumpulan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment