My Add

Wednesday 2 January 2013

3,000 pelajar Unisel hadapi masalah tempat tinggal

SHAH ALAM, RABU,  02 Januari, 2013: Masalah tempat tinggal yang melanda Universiti Selangor (Unisel) berulang lagi apabila kira-kira 3,000 pelajarnya berhadapan dengan masalah penginapan ekoran seluruh sembilan blok asrama di kampus Bestari Jaya dekat sini telah diarahkan ditutup buat sementara waktu.

Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan kerja membaik pulih dilakukan ke atas bangunan asrama di Bestari Jaya.

Utusan Malaysia difahamkan terdapat kerosakan pada bangunan asrama tersebut dan terdapat rekahan serius dikesan selain masalah mendapan yang berlaku ekoran tapak kampus tersebut dibina di atas bekas lombong.

Pada masa ini, Unisel sedang berusaha untuk mendapatkan penempatan alternatif bagi memenuhi keperluan pelajar yang dijadualkan mendaftar masuk ke asrama berkenaan pada 5 Januari ini.

Kira-kira 6,000 pelajar dijangka mendaftar masuk termasuk pelajar baharu dengan senarai penempatan di asrama Bestari Jaya mencecah hingga 3,000.

Bagaimanapun, asrama di Kota Puteri dikatakan hanya mampu menampung antara 1,400 hingga 1,800 pelajar sahaja.

Unisel dikatakan hanya akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu berkenaan pada Jumaat ini.

Kelmarin, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof. Anuar Ahmad dalam kenyataannya berkata, pelajar yang telah mendaftar untuk penempatan di asrama akan ditempatkan di penempatan sementara di Azalea Court, Bandar Tasik Puteri iaitu bagi pelajar perempuan sahaja, asrama Unisel Kota Puteri, Banglow dan Semi D Bukit Minyak Bestari Jaya, Taman Ilmu Bestari Jaya dan Mega-Crystal Resort, Kuala Selangor.

"Harga yang dikenakan kepada semua pelajar adalah RM200 sebulan termasuk pengangkutan (bas), utiliti (api dan air) dan khidmat keselamatan,'' katanya di sini.

Kata beliau, bagi pelajar yang ingin menarik diri untuk mendapatkan penempatan sendiri atau ingin menginap di penempatan di atas dikehendaki menghubungi portal E-Residen sebelum 7 Januari ini. - UTUSAN

1 comment:

  1. klakar kan post kat atas ni.. mendapan tanah.. masalahnye semua bangunan di unisel bestari jaya mengalami mendapan tanah tetapi kenapa hanya bangunan asrama sahaja yang diarah tutup? atau jkr dan audit negara tak dibawa melawat ke bangunan2 lainnya?

    ReplyDelete