My Add

Wednesday, 2 January 2013

31 sekolah masih ditutup


 *PELAJAR Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Hulu 
Terengganu diarah pulang kerana sekolah dinaiki air.
Gelombang kedua bah jejas penggal baru persekolahan
 *HAWA Ngah, 92, mendukung cucu, Balkis Najwa ke rumah 
anaknya selepas rumah beliau di Kampung Lanchang
 dinaiki air semula.

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Januari, 2013: Gelombang kedua banjir yang melanda Pantai Timur menyebabkan 31 sekolah di Terengganu dan lima di Kelantan tidak dapat memulakan penggal baru persekolahan, semalam.

Di Kuala Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata sekolah terbabit, termasuk lapan sekolah menengah membabitkan 12,000 pelajar.

Beliau berkata, daerah Hulu Terengganu catat jumlah terbanyak membabitkan 13 sekolah yang tidak dapat dibuka akibat banjir, diikuti Besut (12) dan masing-masing tiga di Kemaman dan Setiu.

“Sekolah ini tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana masih ditutup akibat dinaiki air dan masih dalam proses pembersihan, manakala sebahagiannya menjadi pusat pemindahan sementara dan ada yang terputus hubungan berikutan jalan ke sekolah dinaiki air.

“Kita tidak dapat memastikan berapa lama lagi sekolah ini akan ditutup dan ia bergantung kepada situasi banjir.

“Kita harap banjir gelombang kedua ini cepat surut dan semua pelajar dapat ke sekolah seperti biasa,” katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, semalam. 

Ahmad Razif berkata, sekolah yang ditutup kerana dinaiki air, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periok; SK Tengku Ampuan Intan; Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, semuanya di Hulu Terengganu.

Di Kota Bharu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang, berkata lima sekolah di Tumpat dan Pasir Mas tidak dapat memulakan sesi persekolahan, berikutan laluan masih ditenggelami banjir di antara 0.5 hingga satu meter.

Beliau berkata, sekolah terbabit ialah SK Simpangan membabitkan 287 murid, SK Bendang Pak Yong (470); SK Telok Jering (415); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurulhuda (205), manakala SABK Diniah Kampung Bongor dengan 50 murid.

“Berikutan hujan berterusan sejak dua hari lalu, laluan ke sekolah berkenaan yang sebelum ini agak surut kembali dipenuhi air,” katanya. -  BH

No comments:

Post a Comment