My Add

Wednesday 2 January 2013

Mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat semula

KUALA LUMPUR, SELASA, 01 Januari, 2013: Mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat semula setakat 9 pagi ini berbanding malam tadi ekoran banjir gelombang kedua yang melanda sejak semalam.

Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua yang melanda empat daerah di negeri itu menyebabkan 27 pusat pemindahan banjir dibuka bagi menempatkan 1,489 orang mangsa daripada 408 keluarga.

Menurut portal banjir negeri, setakat 9 pagi ini, Hulu Terengganu mencatatkan mangsa banjir terbanyak berjumlah 701 orang diikuti Besut (569 orang) Kemanan (162) dan Dungun (57).

Sebanyak 13 pusat pemindahan dibuka di Besut, Hulu Terengganu sebanyak 10 pusat pemindahan manakala Kemaman dan Dungun masing-masing dua pusat pemindahan.

Banjir yang melanda Terengganu sejak 23 Disember lepas telah meragut enam nyawa setakat ini.

Di KELANTAN, seramai 35 orang daripada 10 keluarga di daerah Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan kampung mereka dilanda banjir pusingan kedua malam tadi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 20 orang daripada enam keluarga dari Kampung Baru dan Kampung Tok Sudin dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh pada pukul 10 malam tadi manakala 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Gong Keding dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh pada pukul 3 pagi.

Hujan lebat yang kembali melanda Kelantan sejak semalam, menyebabkan beberapa batang sungai utama mula meningkat namun masih berada di paras berjaga-jaga.

Keadaan cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sesekali hujan lebat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment