My Add

Tuesday 22 January 2013

Ahli akar umbi Pas P.Pinang bantah kenyataan Karpal

*SEKUMPULAN anggota dan penyokong Pas memijak bendera parti DAP di hadapan pejabat Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh di Jalan Green Hall, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. - BERNAMA

GEORGETOWN, SELASA, 22 Januari, 2013: Sekumpulan anggota akar umbi PAS di Pulau Pinang berhimpun di hadapan pejabat Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh di sini, bagi membantah kenyataannya mempertikai keputusan Majlis Syura PAS berhubung isu kalimah Allah.

Perhimpunan lebih sejam di Jalan Green Hall yang disertai anggota PAS dari kawasan Tanjong dan Bagan Ajam itu diketuai Pengerusi Tetap PAS kawasan Tanjong Zaidi Abu Bakar.

Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang memaparkan antaranya

“Kalau Hang (Karpal) Nak Lawan Ulama Kami Langkah Mayat Kami Dulu", “Orang Melayu Jangan Undi Karpal", “PAS Wajib Keluar PR", “Kami Pertahankan Majlis Syura Ulama" dan “Karpal Azmin Tidak Hormat Dasar PAS". Mereka turut memijak bendera DAP.

Sementara itu, Zaidi dalam ucapannya berkata Karpal tidak berhak mencampuri urusan agama Islam dan mesti menghormati keputusan Majlis Syura yang dikaji ulama PAS selaras tuntutan syariat.

"Pada mulanya ada pemimpin PAS buat kenyataan tersasar tetapi setelah ada keputusan dari Majlis Syura Ulama, semuanya telah capai kata sepakat jadi Karpal jangan masuk campur dan keruhkan keadaan," katanya.

Beliau juga mendakwa kebanyakan anggota PAS di Pulau Pinang kecewa dengan kepimpinan PAS negeri yang hanya berdiam diri dengan kenyataan Karpal itu.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS negeri Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menyifatkan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim bersekongkol dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Mereka ini terlalu berhati-hati keluar pendapat demi menjaga hati pakatan rakyat berbanding jaga kalimah Allah. Dah tiba masanya PAS tinggalkan pakatan jangan jadi pengecut," katanya.

Beliau berkata kedua-dua orang pemimpin itu langsung tidak boleh diharap untuk membela kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.

Karpal pada sidang medianya baru-baru ini berkata beliau akan memujuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh diguna orang bukan Islam termasuk Bible bahasa Melayu.

Katanya pendirian Majlis Syura itu bercanggah dengan keputusan yang dicapai pemimpin pakatan pembangkang termasuk Abdul Hadi dan Mursidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 8 Jan lalu lalu yang bersetuju dan menyokong cadangan Lim yang mendesak kerajaan pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment