My Add

Sunday 6 January 2013

Anggota polis terbunuh, 3 cedera kemalangan

SLIM RIVER, SABTU, 05 Januari, 2013: Seorang anggota polis maut, manakala tiga lagi termasuk dua pegawai cedera selepas kereta Proton Waja yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 112, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, mangsa, Lans Koperal Zamri Hashim, 55, maut di tempat kejadian, manakala Koperal Khairul Anuar Napi, 29, cedera parah. Dua lagi pegawai iaitu Pemangku Asisten Supritendan Mahazir Ahmad, 36, dan Inspektor Mohd. Khairul Azhar Abdul Halim, 30, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Othman Nanyan berkata, kemalangan berlaku ketika hujan lebat ketika kesemua mereka dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dalam penugasan sempena lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanjung Malim hari ini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori terlibat hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu kereta Waja itu cuba mengelak ke kiri jalan sebelum bertembung dengan lori tersebut.

"Zamri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Khairul Anuar yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. Dua pegawai yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Slim River dan masing-masing sudah dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, anak bongsu Zamri, Mohd Iqbal, 19, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menghubungi bapanya malam kelmarin, walaupun hatinya terdesak untuk berbuat demikian.

"Kali terakhir saya menemui ayah pada hari raya tahun lalu. Biasanya, saya sentiasa menghubungi ayah bertanya khabar, namun semalam saya tidak sempat.

"Terkejut saya bila dimaklumkan jiran ayah sudah tiada sedangkan baru dua hari saya berbual dengannya," katanya sebak.   UTUSAN

No comments:

Post a Comment