My Add

Saturday 12 January 2013

Badan kehakiman ulangi komitmen terus junjung kebebasan

PUTRAJAYA, SABTU, 12 Januari, 2013: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria hari ini mengulangi komitmen badan kehakiman untuk berpegang teguh pada prinsip kebebasan.

Beliau berkata, badan kehakiman akan terus memperkukuh kedudukannya dan menentang sebarang cubaan untuk melemahkan kedudukannya sebagai sebuah badan bebas.

Ini akan dilakukan melalui latihan dan pengawasan lebih ketat terhadap anggota badan kehakiman, katanya.

"Saya ingin menyeru anggota Majlis Peguam dan orang ramai supaya mengelak daripada memberi rasuah kepada hakim dan pegawai untuk mendapat keuntungan peribadi.

"Sesungguhnya, dalam setiap perbuatan rasuah, pasti ada pemberi dan penerima. Anda semua boleh menyekatnya di peringkat anda," kata Arifin ketika merasmikan Tahun Undang-undang 2013 di Istana Kehakiman di sini.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan badan kehakiman berkongsi impian yang sama iaitu untuk melihat badan kehakiman mencapai taraf dunia dan kerjasama rapat yang terjalin antara ketiga-tiga institusi ini merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ini.

Arifin mengumumkan bahawa badan kehakiman mencatat prestasi cemerlang tahun lepas. 

Katanya, pada tahun ini, institusi itu akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu untuk meningkatkan prestasi dan kualiti kerjanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment