My Add

Sunday 13 January 2013

Banyak boleh dilakukan untuk kaum India dengan 'nambikei' berterusan: PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 13 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa banyak lagi yang boleh dilakukan untuk masyarakat India dengan perpaduan dan keyakinan atau 'nambikei' yang berterusan antara kerajaan dan masyarakat itu.

Oleh itu, beliau mahu mereka terus bersatu padu dan memberi tumpuan bagi mencapai yang terbaik melalui pelbagai inisiatif yang diusahakan kerajaan untuk masyarakat itu.

Beliau berkata, melalui komitmen dan keyakinan, atau ‘nambikei’ antara kerajaan dan masyarakat India, kerajaan dapat membawa pelbagai penambahbaikan dan transformasi kepada masyarakat itu secara keseluruhannya.

 *NAJIB bersama Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel (kanan) menekan butang bersama sebagai gimik perasmian Pesta Ponggal Bersama Rakyat 2013 di Klang, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Dengan perpaduan dan ‘nambikei’ yang berterusan antara kita, saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa kita boleh melakukan lebih banyak lagi dan sampai kepada setiap keluarga masyarakat India yang memerlukan, oleh itu pastikan bahawa kemajuan negara kita dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam entri terbaru dalam laman blognya www.1Malaysia.com.my sempena sambutan Ponggal, hari ini.

Beliau menyifatkan ketibaan bulan bertuah ‘Thai’ dalam kalender masyarakat India menandakan sambutan ‘Ponggal’, sambutan pesta menuai yang melambangkan satu permulaan baru.

"Memandangkan rakan-rakan kita melambangkan tuaian yang melimpah ruah dengan tradisi mereka memasak susu dan beras, kita diingatkan mengenai pertumbuhan pesat agenda tranformasi negara kita yang membawa banyak kejayaan dan pembangunan yang berterusan untuk manfaat semua rakyat Malaysia," katanya.

Najib berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang penuh dengan pelbagai peluang dan dengan mengukuhkan perpaduan selain sama-sama bekerja kuat, semua rakyat Malaysia boleh berkongsi hasil tuaian negara apabila Malaysia terus bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri juga mengucapkan "Ponggal Vaalthukal" kepada semua rakyat Malaysia keturunan India.

"Mari kita bersama-sama dalam semangat 1Malaysia untuk menyertai rakan-rakan kita dan meraikan perayaan ini dengan harapan baru bahawa perayaan ini adalah permulaan baru yang akan membawa lebih banyak kemajuan dan kejayaan kepada Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment