My Add

Tuesday 15 January 2013

Bekalan air di Kuala Lumpur pulih 95 peratus - Syabas

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Gangguan bekalan air di kawasan sekitar Kuala Lumpur kini pulih 95 peratus ekoran kerja-kerja pintasan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang beroperasi lebih awal daripada jadual asal.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas Ir V.Subramaniam berkata kawasan yang masih terjejas gangguan bekalan air adalah Taman Shamelin dan Bandar Sri Permaisuri serta kawasan tinggi di sekitar Kuala Lumpur. Ia dijangka pulih selewat-lewatnya esok pagi.

"Pintasan ini sebenarnya tidak perlu dibuat sekiranya projek Langat 2 dilaksanakan mengikut jadual ataupun kerajaan negeri Selangor sendiri setuju untuk membangunkan rumah pam tambahan pada bulan Mac tahun lepas," katanya pada sidang media di ibu pejabat Syabas di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pintasan telah dilaksanakan pada 8 Jan lepas mengikut kaedah fast track yang boleh menampung 30 juta liter hari JLH) dan disalurkan ke kawasan AU3 Keramat serta kawasan yang terjejas di Kuala Lumpur.

Hampir setengah juta pengguna di 90 kawasan termasuk Jalan Semarak, Kampung Pandan, Kampung Baru Ampang, Taman Hillview, Ampang Saujana, Bandar Baru Ampang, Desa Setapak dan Wangsa Melawati terputus bekalan air sejak 29 Disember lepas.

Sementara itu, Subramaniam berkata gangguan bekalan air di kawasan sekitar Gombak, pulih sepenuhnya petang semalam.

"Sementara menunggu rumah pam tambahan siap dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor, Syabas bercadang melakukan kerja menaiktaraf di rumah pam sedia ada di Wangsa Maju.

"Kami juga berharap kerajaan negeri Selangor membantu menyelesaikan masalah berkaitan menambah kapasiti bekalan air terawat dan melihat perkara ini dengan lebih serius," katanya.

Beliau berkata Syabas hanya menguruskan perkhidmatan pengagihan air terawat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik kerajaan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment