My Add

Friday 25 January 2013

Contohi Rasulullah SAW insan paling unggul - PM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat meneruskan momentum kesederhanaan yang diamalkan Rasulullah SAW dalam memastikan misi membina negara maju dan berdaya saing mampu dicapai.

Menurut Perdana Menteri, konsep wasatiyyah yang ditunjukkan Rasulullah SAW itu telah melahirkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam serta memacu kemajuan setiap bangsa dan negara di dunia.

"Rasulullah SAW adalah qudwah yang mengamalkan wasatiyyah dalam hidup baginda.

"Bertepatan dengan tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah', kita melihat konsep wasatiyyah yang baginda tunjukkan telah melahirkan kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul menerusi laman blognya di http://1malaysia.com.my hari ini.

Menurut Najib, beliau yakin amalan kesederhanaan yang diamalkan Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara Islam lain bagi menyelesaikan isu serantau.

Katanya, kejayaan negara sebagai mediator dalam krisis di selatan Filipina membuktikan Malaysia dihormati bukan sahaja dalam kalangan negara Islam bahkan negara Barat.

"Sememangnya keyakinan mengenai kemampuan Malaysia dalam merapatkan hubungan antara Barat dan Islam seperti yang diutarakan bekas Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN (Dr. Surin Pitsuwan) adalah contoh kejayaan pendekatan wasatiyyah yang diamalkan kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan konflik di rantau ini," katanya.

Najib turut menyentuh mengenai lawatannya ke Palestin kelmarin yang disifatkan beliau sebagai menunjukkan sokongan penuh negara terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis di Gaza.

Menurutnya, beliau percaya pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah merupakan kunci kepada kejayaan perjuangan masyarakat Palestin dan Malaysia bersedia membantu ke arah itu.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, Najib mengajak seluruh umat Islam memperbanyakkan selawat dan salam sebagai tanda kasih dan sayang terhadap Rasulullah SAW.

Menurut beliau, Rasulullah SAW merupakan insan paling unggul dan hebat yang perlu menjadi ikutan dan contoh kepada umat Islam.

"Saya mendoakan sambutan Maulidur Rasul kali ini benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dianjurkan Rasulullah SAW," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment