My Add

Saturday 19 January 2013

DanaInfra lanjut tempoh tawaran

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Januari, 2013: DanaInfra Nasional Bhd. (DanaInfra) akan melanjutkan tempoh penawaran Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (ETBS) di Bursa Malaysia atau DanaInfra Sukuk Runcit sehingga 25 Januari ini.

DanaInfra dalam kenyataan di sini menyatakan, sebelum ini, tempoh penawaran itu adalah selama 11 hari dari tarikh pelancarannya di Bursa Malaysia iaitu pada 8 Januari lalu.

Menurut kenyataan DanaInfra, pelanjutan tempoh penawaran itu adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelabur runcit untuk melabur dengan menggunakan instrumen baharu berkenaan.

"Keuntungan petunjuk yang telah ditetapkan pada kadar minimum 3.7 peratus setahun sebelum ini, kini telah ditetapkan pada kadar empat peratus setahun," kata DanaInfra.

DanaInfra merancang untuk menerbitkan keseluruhan sukuk berjumlah RM8 bilion dan RM2.4 bilion daripadanya telah pun diterbitkan (bukan melalui ETBS).

DanaInfra sukuk runcit atau ETBS ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kelas aset tersebut merupakan pertama yang diperkenalkan di Bursa Malaysia dan ia memberi faedah kepada para pelabur runcit.

ETBS menyenaraikan sekuriti-sekuriti pendapatan tetap, juga dikenali sebagai bon-bon atau sukuk yang didagangkan di bursa saham.

Pelaburan itu menawarkan pulangan para penentuan dalam bentuk kupon yang akan dibayar secara berkala.

Para pelabur hanya perlu melabur pada kadar minimum RM1,000 sebagai modal pada peringkat tawaran awam permulaan.

Terbitan ETBS atau DanaInfra Sukuk Runcit ini akan digunakan sebahagiannya untuk membiayai projek Mass Rapid Transit (MRT).

Pelaburan itu akan memberi peluang kepada para pelabur untuk membuat pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan utama negara dan mendapat pulangan berdasarkan pematuhan syariah, selain dijamin oleh kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment