My Add

Monday 14 January 2013

DPMM akan serah resolusi 20 perkara ekonomi Melayu kepada Najib

 KOTA BHARU,AHAD, 13 Januari, 2013: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menyerahkan resolusi 20 perkara yang diputuskan dalam Kongres Ekonomi Melayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac ini, untuk tindakan.

Naib Presiden DPMM Rizal Faris Mohidden Abdul Kadir berkata resolusi itu telah digarapkan hingga ke peringkat akar umbi sebagai garis panduan dan hala tuju nasib masa depan usahawan Melayu termasuk anggota dewan itu.

Katanya resolusi yang menyentuh kepentingan nasib masa depan orang Melayu menjelang Wawasan 2020 itu dirumuskan di peringkat kebangsaan melalui Kongres Ekonomi Melayu 2012 di ibu negara tahun lepas.

Kongres itu yang turut disertai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 dan 24 Okt lepas antara lain mengambil ketetapan usahawan Melayu khasnya dan orang Melayu amnya di setiap peringkat supaya bersatu membela nasib bangsa terutama memastikan ekonomi Melayu selaras dengan temanya iaitu "Merdeka Ekonomi Kita" sebagai suatu jihad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kongres Melayu Zon Timur 2013 di Bandar Baharu Tunjung, di sini hari ini yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

Rizal Faris Mohidden berkata, resolusi 20 perkara akan dibincangkan secara terperinci di peringkat zon dan daerah sebelum dibentangkan di peringkat atas untuk tindakan lanjut dan menurutnya zon Putrajaya dan Pulau Pinang sahaja yang belum mengadakan kongres.

"Antara matlamat perjuangan DPMM ialah mahu merealisasikan hasrat kerajaan mahu melihat negara maju menjelang 2020 yang masih ada lapan tahun lagi. Kita tidak mahu negara akan maju pada 2020 tetapi Melayu masih ketinggalan dan menjadi bangsa termundur dan terpinggir dalam merebut peluang ekonomi," katanya.

Dr Zainuddin dalam ucapannya berkata orang Melayu akan berhadapan dengan cabaran yang makin hebat dalam mencapai pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata bangsa Melayu mendominan Asia Tenggara dan nusantara dalam abad ke-10 hingga abad ke-16 Masihi tetapi kedatangan penjajah barat telah meroboh struktur dan institusi yang telah lama wujud di rantau ini.

Katanya keadaan semakin terancam apabila penjajah membawa masuk bangsa asing untuk memajukan ekonomi negara ini.

Menurutnya fenomena itulah yang telah mengubah landskap sosio-politik dan ekonomi negara ini dan mewujudkan konflik sehingga kini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment