My Add

Tuesday 29 January 2013

Dr. Mahathir selar pihak mempolitikkan inisiatif kerajaan

 KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 Januari, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar sikap pihak tertentu yang sentiasa mempolitikkan pelbagai inisiatif yang diketengahkan kerajaan termasuk usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Mengambil contoh pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang mendapat kritikan hebat khususnya parti pembangkang, jelas beliau, tindakan sedemikian cukup menghairankan kerana usaha menyelamat nyawa menerusi inisiatif berkenaan telah dijadikan isu untuk modal politik.

''Politik demokrasi di negara ini sudah sampai ke peringkat yang cukup tinggi. Usaha untuk menyelamat nyawa pun boleh jadi isu. Bilakah akan kembali kesiuman kita? Apakah segala-galanya perlu dipolitikkan atau ditentang kerana kita berhak menentang?

''Sebenarnya pemandu kereta di Malaysia adalah antara yang berbahaya sekali. Tanpa undang-undang yang menyekat kelajuan, tiap tahun beribu akan mati. Apakah ini yang kita mahu? Apakah kita ingin tunggu sehingga kehilangan ahli keluarga di jalan raya, baru kita akan terima AES?,'' soal beliau.

Beliau menyatakan demikian dalam entri terbaru bertajuk 'Penguatkuasaan Secara Automatik (Automated Enforcement System)' dalam blognya, http://chedet.cc hari ini.

Dr. Mahathir berkata, dalam mana-mana negara termasuk Malaysia, undang-undang khususnya di jalan raya diadakan bagi menentukan had laju sesebuah kenderaan dengan tujuan mengurangkan kadar kemalangan.

''Tiada yang membantah penentuan had laju itu. Malangnya ada pemandu yang tidak menghormati undang-undang. Mereka pandu dengan kelajuan yang keterlaluan. Undang-undang sahaja tidak mencukupi. Penguatkuasaan undang-undang diperlukan dan polis ditugas untuk mengesan kelajuan yang melebihi had.

''Apabila jumlah kenderaan bertambah, polis tidak dapat menjalankan tugas-tugas lain selain mengesan pencabulan had laju. Lagi pun agak sukar menentukan kelajuan dan kereta yang terlibat. Pelbagai jenis alatan dicipta untuk membantu polis. Tetapi jumlah kereta terus meningkat dan kemalangan juga meningkat,'' ujarnya.

Untuk itu, katanya, alat elektronik yang mampu mengukur kelajuan serta mengenal pasti kenderaan terlibat dicipta dan dilihat lebih berkesan dalam membantu pihak berkuasa.

Tegas beliau, kegunaan alat elektronik itu juga tidak ditentang oleh mana-mana pihak di negara lain.

''Tetapi pihak berkuasa tidak sedar bahawa ini Malaysia. Malaysia bukan sebarang negara. Malaysia adalah negara politik, negara demokrasi. Politik demokrasi bermakna apa sahaja yang dilakukan pemerintah mesti ditentang.

''Oleh yang demikian, usaha pemerintah untuk menyelamat nyawa, mengurangkan kemalangan di jalan raya dan menurun angka kematian mesti ditentang,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment