My Add

Wednesday 9 January 2013

DRB-HICOM rancang projek kereta Asia

KUALA LUMPUR, RABU, 09  Januari, 2013: DRB-HICOM kini sedang merancang satu projek besar yang akan dikenali sebagai "Kereta Asia" yang menyaksikan Malaysia menjadi hab bagi pengeluaran kenderaan Volkswagen (VW).

VW ialah pengeluar kenderaan terbesar Eropah.

Untuk menjayakannya, pemilik DRB-HICOM, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sedang berusaha untuk menyenaraikan syarikat cabang pengedaran kepada DRB-HICOM Bhd itu.

Rancangan itu ialah menyenaraikan Proton Edar dan EON Bhd yang digabungkan, yang mana kedua-duanya ialah pengedar kereta Proton.

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, DRB-HICOM sendiri kemungkinan akan dinyahsenaraikan.

"Ia adalah antara pilihan yang ada," kata sumber yang rapat dengan cadangan itu kepada Bernama.

Di bawah pilihan ini, cabang pengeluaran automotif dan unit pertahanan DRB-HICOM, akan dipegang secara persendirian oleh satu daripada syarikat yang dimiliki oleh taikun berkenaan.
Pemegang saham sedia ada DRB-HICOM boleh menukar beberapa saham mereka ke dalam syarikat penyenaraian yang baru itu.

Mereka juga akan diberikan tunai, antara 50 sen dan RM1 sesaham, kata sumber itu.

Sementara itu, cabang pembuatan automotif, akan disenaraikan semula dalam bentuk yang lain, kemudian nanti, di bawah usaha sama DRB-VW.

DRB-HICOM dan VW, pada Ogos 2010, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama bagi pemasangan dan pengeluaran kenderaan VW di Malaysia.

"Memajukan potensi pasaran di rantau Asean adalah penting untuk strategi pertumbuhan jangka panjang Volkswagen Group," kata Christian Klinger, ahli lembaga pengurusan VW baru-baru ini.

Kenderaan itu dibuat di kompleks automotif HICOM yang berkeluasan 96 hektar di Pekan, Pahang.

Dalam peringkat permulaan, DRB-HICOM tiada mempunyai rancangan untuk mengembangkan peluasan itu memandangkan ia mempunyai kapasiti yang berlebihan.

Bagaimanapun, ia akan menambah talian pengeluaran tambahan untuk memasang kenderaan-kenderaan VW itu.

"Kemudahan itu akan direka bagi menampung kapasiti 100,000 unit.

"Pada masa ini, kami hanya mengeluarkan 25,000-30,000 unit. Jadi, banyak lagi ruang untuk kilang itu dimanfaatkan," kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment