My Add

Monday 28 January 2013

Dunia iktiraf Malaysia sebagai hab halal

BEAUFORT, AHAD, 27 Januari, 2013: Pelaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang berkuat kuasa tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai hab halal dunia menunjukkan perkembangan positif berikutan Malaysia terus mendapat pengiktirafan dunia dalam bidang tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pada masa ini industri halal negara berkembang pesat selepas turut menjadi rujukan untuk sijil halal dunia.

"Permohonan mendapatkan sijil halal di dalam negara juga meningkat berlipat kali ganda selepas penguatkuasaan akta berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan bersama empat sayap kepimpinan UMNO Beaufort di Bangunan UMNO Beaufort, di sini hari ini.

Menurut Jamil Khir, setakat ini, terdapat 54 badan persijilan halal luar negara mematuhi peraturan halal yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu beliau berkata, pelaksanaan akta berkenaan akan memastikan bukan sahaja kandungan sesuatu produk halal tetapi merangkumi keseluruhan proses rantaian penghasilan produk berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai premis perniagaan di negeri ini yang masih menggunakan sijil halal yang dikeluarkan selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri, beliau menegaskan, perkara tersebut menyalahi undang-undang.

Ujarnya, Jakim akan terus mengadakan penguatkuasaan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment