My Add

Monday 28 January 2013

Janji kuota haji pembangkang untuk 300 jemaah tidak realistik

BEAUFORT, AHAD, 27 Januari, 2013: Janji pembangkang untuk memberi kuota haji sebanyak 300 jemaah bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berkuasa tidak realistik dan hanya merupakan janji-janji kosong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kuota haji yang diberikan itu tidak dapat ditentukan mana-mana negara kerana ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

"Kuota haji tidak diikat dengan hanya janji pilihan raya, tetapi ditentukan melalui persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 80-an lagi iaitu setiap negara akan mendapat 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara tersebut sahaja.

"Alhamdulillah Malaysia diberi kuota melalui OIC yang diputus semua negara, iaitu umat Islam 0.1 peratus itu mengambil kira orang bukan Islam," katanya dalam sidang akhbar selepas perjumpaan bersama empat sayap kepimpinan UMNO Beaufort di Bangunan UMNO Beaufort, di sini hari ini.

Baru-baru ini, penduduk di daerah ini menerima risalah menyatakan setiap DUN akan diberi kuota haji sebanyak 300 orang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Jamil Khir, pada masa ini, kuota yang diberi kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia ialah sebanyak 28,000 jemaah berdasarkan jumlah penduduk Malaysia kira-kira 2.8 juta orang.

Sementara itu beliau berkata, berdasarkan kuota yang diberikan itu cadangan pembangkang berkenaan tidak akan dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang yang hanya bertujuan memancing undi dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendaftaran haji ketika ini telah mencecah sejuta orang di seluruh negara dengan kadar menunggu kira-kira 30 tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment