My Add

Sunday 27 January 2013

Guru muda lonjak kualiti transformasi pendidikan - TPM

*SEBAHAGIAN guru muda berikrar di hadapan Muhyiddin Yassin pada majlis Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor semalam.

SABAK BERNAM, SABTU, 26 Januari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru yang terdapat di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

''Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

''Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat zon tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kementerian turut menekankan kepentingan 'High Order Thinking Skill' (HOTS) iaitu mahu guru-guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu katanya, program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa depan selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula kemahiran guru dalam bidang sains, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai oleh semua guru.

''Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan,'' katanya.

Seperti yang diketahui katanya, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar dan salah satu yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan perguruan sebagai kerjaya pilihan dan bukan memilih guru setakat untuk mendapatkan pekerjaan.

''Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Buletin Maya GM1M. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment