My Add

Sunday 27 January 2013

Rakyat banyak berubah, pendekatan perlu berbeza

*NAJIB ketika sesi temu bual bersama Fareed Zakaria dari Cable News Network (CNN) sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland, kelmarin. - BERNAMA

DAVOS, SABTU, 26 Januari, 2013: Rakyat Malaysia, terutama generasi muda masa kini telah banyak berubah dan perlu didekati dengan pendekatan berbeza kerana mereka mempunyai pengharapan yang sangat tinggi terhadap kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahap jangkaan rakyat yang telah meningkat itu menyebabkan prestasi kerajaan pemerintah juga perlu ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyedari bahawa rakyat Malaysia kini tidak lagi akan memberi undi jika hanya berdasarkan kepada sumbangan yang dilakukan di masa lalu.

"Memang tiada siapa dapat menafikan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah berjuang untuk kemerdekaan negara dan juga telah berjaya membangunkan negara ini.

"Bagaimanapun, mereka akan berkata; "Ya, itu yang anda telah lakukan masa lalu tetapi mereka akan terus bertanya apakah yang anda akan lakukan di masa kini dan masa depan?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi BN pada pilihan raya umum lalu dalam wawancara oleh wartawan Cable News Network (CNN), Fareed Zakaria yang diadakan sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kini menghadapi golongan pengundi yang lebih sukar hasil daripada perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penggunaan media sosial yang meluas.

"Walaupun ia merupakan satu perkara yang baik tetapi ia juga boleh memberikan cabaran kepada kerajaan," tambah Perdana Menteri.

Najib berkata, kerajaan sekarang bekerja keras sedaya upaya dalam memenuhi permintaan rakyat dan berharap akan mendapat mandat lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai dakwaan penduduk berketurunan Cina yang terpinggir kerana dasar-dasar yang memberi kelebihan kepada masyarakat Melayu, Najib berkata, kerajaan sedang berusaha mengurangkan isu tersebut dengan pengenalan dasar-dasar yang tidak membezakan kaum.

"Kami telah memperkenalkan dasar yang berasaskan meritokrasi seperti dalam dasar pengambilan pelajar ke universiti awam yang berdasarkan merit yang telah meningkatkan bilangan pelajar kaum Cina," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata, terdapat pula permintaan daripada sesetengah kaum lain seperti masyarakat India yang mahukan kerajaan mempertahankan dasar berasaskan sistem kuota.

"Sehubungan itu, kami akan memperkenalkan lebih banyak dasar-dasar yang mengambil kira keperluan semua rakyat dan bukannya dasar yang hanya berasaskan bangsa," katanya.

Mengulas mengenai rakyat di beberapa negara Islam yang sering mendesak perubahan kepada kerajaan sedia ada, Najib berkata, Malaysia sentiasa berusaha untuk berubah demi kemajuan negara.

"Kami (sentiasa) mengambil inisiatif untuk berubah kerana saya sendiri sangat mementingkan perubahan yang sistematik kerana ia akan memberikan hasil lebih baik daripada (berbanding) perubahan yang dilaksanakan melalui keganasan," katanya. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment