My Add

Monday 28 January 2013

Ibu sara keluarga terharu terima bantuan awal persekolahan RM100

 
*NORBISHAH Bidin (tengah) bersama (dari kiri) Nurul Athirah, Muhamad Firdaus, Nur Azah danMuhamad Adam gembira menerima bantuan awal persekolahan di SK Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah, semalam.

POKOK SENA, AHAD, 27 Januari, 2013: Seorang ibu tidak dapat menyembunyikan rasa terharu selepas menerima bantuan awal persekolahan RM100 yang mampu meringankan bebannya yang terpaksa menyara keluarga sejak suaminya menghidap penyakit kencing manis dua tahun lalu.

Norbishah Bidin, 39, berkata, pendapatan sebagai pembantu kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Mas di sini, sekitar RM500 sebulan tidak cukup untuk membiayai persekolahan lapan daripada 14 orang anaknya yang masih bersekolah.

Katanya, biarpun sesi persekolahan hampir memasuki bulan kedua namun persiapan persekolahan anak-anaknya masih belum lengkap dan mereka hanya memakai pakaian seragam sekolah tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya membantu suami mencari pendapatan tambahan sahaja kerana dia bekerja kampung, namun setelah kedua-dua matanya mengalami masalah, tugas mencari rezeki terletak pada saya.

"Bantuan RM100 yang diperoleh setiap anak saya yang bersekolah sekurang-kurangnya dapat saya gunakan untuk membeli buku, baju sukan dan kelengkapan sekolah mereka yang masih belum lengkap," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada 230 murid di SK Telaga Mas, di sini hari ini.

Empat anak Norbishah, Nurul Athirah, 12, Muhamad Adam, 10, Nur Azah, 9, dan Muhamad Firdaus, 7, menerima bantuan persekolahan tersebut daripada Penyelaras Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Menurut Norbishah, dia amat berterima kasih kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, bapa kepada lima anak, Mohd. Fadzli Ismail, 40, berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan yang diterima sejak tahun lalu.

Katanya, pendapatannya yang tidak menentu sekitar RM500 sebulan menjalankan pelbagai kerja kampung tidak cukup menampung perbelanjaan empat orang anaknya, Muhammad Fadzrul Amirul, 11, Nur Fazliana, 10, Nur Fazwani Natasya, 8 dan Muhammad Farris, 7, yang masih bersekolah.

"Anak saya, Nur Fazwani Natasya menghidapi masalah injap jantung, jadi dia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara dua kali setahun.

"Bantuan RM100 ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan terutama dalam menyediakan peralatan persekolahan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment