My Add

Thursday 17 January 2013

India gantung penerbangan semua 6 Boeing Dreamliners  

NEW DELHI, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Air India hari ini menggantung penerbangan kesemua enam pesawat Boeing 787 Dreamliner selepas arahan global oleh pengawal selia Amerika Syarikat, Federal Aviation Administration (FAA) untuk menghentikan operasi semua 50 pesawat seumpama itu yang diserahkan setakat ini kepada pelbagai syarikat penerbangan.

Arahan FAA itu dipatuhi segera oleh pengawal selia penerbangan negara-negara di mana syarikat penerbangan mereka telah membeli pesawat terbaharu ini, demikian lapor Press Trust of India.

Semalam, Jepun menggantung penerbangan 24 pesawat Dreamliners yang dimiliki oleh dua syarikat penerbangannya - All Nippon Airways (ANA) dan Japan Airlines.

Pegawai Air India berkata, mereka menggantung semua enam pesawat itu serta merta susulan arahan daripada FAA dan nasihat daripada Directorate General of Civil Aviation India.

Mereka berkata, FAA mengarahkan penggantungan keseluruhan pesawat Dreamliner sehingga pengeluar Boeing "menunjukkan pematuhan" kepada pelbagai langkah yang diminta dilaksanakan oleh pengawal selia Amerika.

Bagaimanapun, pegawai menegaskan bahawa perkhidmatannya tidak akan terjejas teruk kerana penerbangan ke Paris dan Frankfurt akan menggunakan pesawat Boeing 777.

Boeing pada Jumaat lalu mengumumkan bersama hasil siasatan dengan FAA selepas tiga daripada pesawat yang dimiliki oleh syarikat penerbangan Jepun mengalami masalah pada bulan ini -- kebakaran elektrik, kebocoran bahan api dan tingkap kokpit yang pecah. 

Dreamliner, pesawat terbaharu dengan teknologi paling canggih daripada Boeing dibuat daripada bahan material komposit ringan dan bukannya aluminium. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment