My Add

Thursday 17 January 2013

KDNK dijangka meningkat 5.6 peratus tahun ini: MIER

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.6 peratus tahun ini dengan dipacu terutamanya oleh ekonomi domestik, manakala inflasi dijangka meningkat kepada 2.5 peratus ekoran pengaliran masuk modal yang bertambah ke dalam sektor pembuatan, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Ia juga mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2014 berada di antara 5.0 dan 6.0 peratus manakala inflasi kekal pada 2.5 peratus.

MIER mengekalkan ramalan KDNKnya bagi 2012 pada 5.1 peratus dan inflasi pada 1.7 peratus.

Pengarah Eksekutif MIER, Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih cepat daripada pertumbuhan ekonomi dunia, yang diunjurkan pada 3.3 peratus bagi 2012 dan 3.6 peratus tahun ini.

"Ekonomi Malaysia seharusnya berkembang lebih pantas daripada ekonomi dunia kerana ia terletak di rantau yang paling dinamis di dunia.

"Kita mendapat manfaat daripada kelebihan Asean sebagai rantau yang akan memacu pertumbuhan global," kata Zakariah. 

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dipacu oleh pelaburan domestik, berdasarkan Program Transformasi Ekonomi kerajaan yang sedang dilaksanakan, data-data eksport yang lebih baik dan perkembangan negatif yang berlanjutan di luar negara.

"Penggunaan swasta dan kerajaan masing-masing menyumbang 52.5 peratus dan 11.9 peratus KDNK sebenar dalam suku ketiga 2012.

"Oleh kerana sumbangan penggunaan swasta kepada KDNK sebenar merupakan yang terbesar daripada komponen-komponen perbelanjaan yang membentuk permintaan domestik, maka penting dipastikan pertumbuhannya mampan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhannya," katanya pada satu taklimat media hari ini.

Beliau berkata, ganjaran dan bonus kerajaan kepada penjawat awam serta pelaksanaan gaji minimum, dijangka dapat membantu mengekalkan momentum pertumbuhan perbelanjaan swasta, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

Mengenai inflasi, beliau berkata meskipun kadar 2.5 peratus adalah agak lebih tinggi tahun ini, namun ia masih pada tahap yang selesa kerana ia adalah kadar yang mempermudah pertumbuhan.

Indeks Harga Pengguna bagi November tahun lepas berada pada 1.3 peratus, iaitu paling rendah dalam kalangan negara-negara jiran di rantau ini.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman, MIER menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkannya pada kadar 3.00 peratus sekarang, sekurang-kurangnya hingga enam bulan pertama tahun ini.

Ditanya mengenai kesan pilihan raya umum yang bakal diadakan ke atas ekonomi Malaysia, Zakariah berkata kesannya sangat kecil kerana mana-mana parti jua yang memerintah negara, akan memerlukan ekonomi yang kukuh untuk memastikan pertumbuhan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment