My Add

Wednesday 16 January 2013

Iskandar Malaysia tidak perlu syarat tambahan yang hindarkan pelabur asing

JOHOR BAHRU, RABU, 16 Januari, 2013: Syarat tambahan tidak perlu dikenakan ke atas pelabur asing yang mahu melabur di Iskandar Malaysia kerana ia hanya akan menghindarkan kemasukan pelaburan asing ke koridor ekonomi selatan tanah air itu, kata Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed.

Pengerusi UDA Holdings Bhd itu berkata, pengenalan syarat tambahan di Iskandar Malaysia seperti yang dicadangkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), akan menjadikan ia kurang menarik dalam kalangan pelabur asing.

"Dunia kini sudah berubah, dahulu kita boleh meletakkan pelbagai syarat (terhadap pelabur asing) kerana kita tidak banyak persaingan, tetapi kini kita bersaing dengan Thailand, Indonesia, Filipina, malah Kemboja dan Myanmar.

"Jika terlalu banyak syarat, mereka (pelabur asing) boleh ke tempat lain," katanya selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan RM100 kepada ibu bapa di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1), hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan DPMM semalam yang menggesa supaya kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada projek-projek di Nusajaya, yang terletak dalam Iskandar Malaysia, kepada syarikat Melayu.

Presiden DPMM, Syed Ali Alattas berkata, langkah itu perlu berikutan semakin merosotnya hak milik tanah kerajaan akibat diswastakan, tanpa mengira harga sehingga memudaratkan kedudukan orang Melayu di Johor.

Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada akhir 2006, berjaya menarik pelaburan sebanyak RM105 bilion dalam pelbagai sektor dan industri, sehingga 2012.
Menurut Nur Jazlan, tindakan mengenakan pelbagai syarat terhadap pelaburan di Iskandar Malaysia akhirnya dibimbangkan akan menggagalkan pelan dan perancangan kerajaan terhadap koridor ekonomi itu.

Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai berkata, kemasukan pelabur asing perlu digalakkan memandangkan ia memberi pekerjaan kepada penduduk tempatan, selain meningkatkan tahap pendapatan mereka.

"Pelaburan asing juga membantu ekonomi tempatan," katanya sambil menambah, orang Melayu yang memiliki kediaman dan tanah di Iskandar Malaysia, turut menerima kesan positif hasil kenaikan harga hartanah mereka berikutan kejayaan koridor ekonomi itu menarik pelaburan asing.

Apa yang penting katanya ialah kerajaan membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk memiliki rumah menerusi pelaksanaan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Menerusi PR1MA, kerajaan membantu rakyat untuk memiliki rumah dengan membina rumah-rumah yang di subsidi, yang harganya jauh lebih rendah berbanding harga pasaran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment