My Add

Tuesday 8 January 2013

Isu saham Felda: Anwar tidak hasut, tegas Rafizi

SHAH ALAM, SELASA, 08 Januari, 2013: - Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu berkaitan ketidakstabilan harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) tidak sepatutnya dianggap sebagai satu langkah menghasut rakyat sebagaimana didakwa oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, pemimpin PKR mempertahankan Anwar sambil menyifatkan beliau dan partinya bertanggungjawab untuk memberitahu perkara yang sebenar dan melindungi kepentingan pelabur-pelabur selain peneroka Felda itu sendiri.

"Ya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada berkata Datuk Seri Anwar menghasut, sebenarnya Datuk Seri Anwar tidak menghasut, hanya memberitahu keadaan yang sebenar, mengenai harga saham Felda yang semua orang tahu, terus turun, sejak enam bulan lalu (disenaraikan)... jadi, menjadi tanggungjawab Datuk Seri Anwar menjaga kepentingan pelabur dan peneroka supaya kejatuhan harga saham Felda Global Ventures Holdings tidak menjejaskan kepentingan mereka," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ketika dihubungi.

Muhyiddin berkata, Anwar tidak sepatutnya mencampuri urusan perniagaan dengan membuat kenyataan politik yang boleh menjejaskan syarikat awam.

Beliau berkata, Anwar perlu tahu bahawa kenyataan yang telah dibuatnya akan mempengaruhi sentimen pelabur dan mungkin akan menyebabkan saham syarikat tersebut terus menjunam.

Anwar baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa harga saham Felda Global Ventures Holdings akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana campur tangan beberapa institusi, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bekas menteri kewangan itu mendakwa harga saham FGV pada RM4.62 adalah kerana campur tangan dalam bentuk pembelian oleh KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan institusi-institusi lain.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berpendapat Anwar sebenarnya iri hati dengan penyenaraian saham Felda Global Ventures Holdings dan ingin mempolitikkan isu tersebut serta berharap agar harganya terus jatuh.

"Saya tidak pasti sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia boleh mengenakan tindakan terhadap Anwar kerana mengeluarkan kenyataan yang bertujuan menghasut," kata beliau - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment