My Add

Thursday 10 January 2013

Kanak-kanak cedera diserang anjing

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 10 Januari, 2013: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di leher dan muka akibat diserang anjing peliharaan keluarga saudaranya di Taman Kulai Utama, Kulaijaya, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Chok Thuan Seng, 3, baru pulang dari Tadika yang terletak bersebelahan rumah saudaranya itu.

Sepupunya, Sin Yee, 21, berkata mereka sekeluarga tidak mengetahui punca anjing Rottweiler mereka menyerang Chok kerana dia dan anjing itu biasa bermain bersama.

"Mungkin adik saya terlupa untuk mengikat anjing tersebut dan sebaik melihat Chok, ia meluru keluar rumah lalu menyerang Chok,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah, hari ini.

Sin Yee berkata, mujur pembantu rumah mereka segera meleraikan gigitan anjing berkenaan sebelum guru Tadika berkenaan membawa Chok untuk rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah sebelum menjalani pembedahan kecil.

Sepupunya itu berkata, Chok tinggal di rumah mereka sejak tiga minggu lalu bagi memudahkan pembelajarannya di Tadika berkenaan.
Difahamkan, anjing itu dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment