My Add

Thursday 3 January 2013

Kaum Cina, India minat sektor awam
 
Zanariah Abd Mutalib 

Permohonan catat kadar tertinggi dalam sejarah

PUTRAJAYA, RABU, 02 Januari, 2013: Permohonan kaum Cina dan India untuk menyertai sektor awam mencatat peningkatan tertinggi dalam sejarah, masing-masing 77 peratus dan 79 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam, berkata 11,848 permohonan diterima daripada kaum Cina dan 21,481 permohonan daripada kaum India, berbanding masing-masing hanya 6,697 dan 12,009 permohonan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah ini peningkatan yang begitu tinggi dan mendadak kerana sebelum ini, purata permohonan daripada mereka hanyalah dua peratus, iaitu kira-kira 20,000 setahun.

“Ini hasil kerjasama kita dengan persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu mewakili kaum berkenaan selain dengan NGO kaum Dayak dan Kelantan sejak Jun lalu melalui siri jelajah SPA.

“Kita juga membuka kaunter mingguan untuk bersemuka dengan mereka, mengaturkan mesyuarat khas dan menyiarkan makluman jawatan kosong di akhbar Cina serta Tamil,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mahmood berkata, sebanyak 631,692 permohonan baru diterima antara Jun hingga Disember tahun lalu, termasuk 495,015 permohonan kaum Melayu dan 103,348 permohonan lain-lain kaum, termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 247,341 permohonan berbanding tempoh sama pada 2011 iaitu pertambahan 192,867 permohonan (63 peratus) bagi kaum Melayu dan 45,002 (77 peratus) bagi lain-lain kaum.

Mahmood berkata 814,659 calon mendaftar dengan SPA untuk menyertai perkhidmatan awam tahun lalu dengan tempoh sah laku pendaftaran itu selama lima tahun berbanding hanya setahun sebelum ini.

Beliau berkata, minat kaum Cina yang sebelum ini lebih bertumpu kepada mengisi jawatan dalam kumpulan A, iaitu pengurusan atau profesional dan ke atas, kini menunjukkan peningkatan untuk permohonan jawatan dalam pelbagai gred lain.

Mahmood berkata, SPA juga akan mengkaji inisiatif baru untuk terus menarik pemohon dari kalangan bukan Melayu untuk menyertai perkhidmatan awam, selain meneruskan program sedia ada.

Beliau juga berkata, 47,335 lantikan baru dilaksanakan tahun lalu, peningkatan 17,718 lantikan berbanding 2011 manakala 23,436 kakitangan mendapat pengesahan pelantikan, 33,547 menerima pengesahan dalam perkhidmatan dan 31,645 diberi taraf pencen.

Bagi tindakan tata tertib pula, Mahmood berkata, 132 kes dicatatkan sepanjang tahun lalu termasuk kerana tidak hadir bertugas, sabitan mahkamah dan tata kelakuan manakala 563 kes didaftarkan bagi rayuan tata tertib. - BH

No comments:

Post a Comment