Kerajaan diharap beri bantuan persekolahan RM100 setiap tahun
KUANTAN, KHAMIS, 17 Januari, 2013:: Pendidik dan golongan ibu bapa berharap kerajaan menjadikan Bantuan Persekolahan RM100 sebagai bantuan tahunan dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat dalam bidang pendidikan.
Mereka yang ditemui nyata bersyukur dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka terutama yang berpendapatan rendah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Hamidah Mansor ketika ditemui pada majlis penerimaan bantuan itu kepada ibu bapa murid sekolah berkenaan berkata usaha yang dilakukan kerajaan itu amat bermakna sekali kepada semua pihak.
"Harap bantuan khas ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang kerana ia dilihat sangat bermanfaat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah," katanya.
Seramai 798 murid sekolah itu merupakan antara sekolah terawal di Pahang yang menerima Bantuan Persekolahan RM100 setiap seorang yang mula diagihkan hari ini.
Bantuan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Datuk Chang Hong Seong.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui berharap kerajaan dapat mengkaji semula jumlah bantuan itu dengan turut mengambil kira pendapatan keluarga.
Nur Sham Amir Hussin, 44, seorang peguam berkata bantuan tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu rakyat khususnya bidang pendidikan.
"Walaupun cuma RM100, duit itu dapat meringankan beban ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak ramai," katanya yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah, dua daripadanya adalah murid sekolah berkenaan.
Seorang pekerja swasta, Maizatul Salwa Mohamad Khudori, 34, pula berkata, dia akan manfaatkan bantuan itu untuk persekolahan dua anaknya.
"Duit ini akan saya gunakan untuk membeli kamus elektronik kerana kedua-dua anak saya berhajat memilikinya sejak tahun lalu bagi membantu mereka dalam pembelajaran," katanya.
Sementara itu seramai 680 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar turut menerima bantuan itu hari ini.
Exco kerajaan negeri yang juga Ahli DUN kawasan Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan itu berkata bantuan persekolahan itu adalah bukti kerajaan menepati janji yang sudah dibuat.
"Kita berharap ibu bapa mengenepikan soal politik dalam usaha kerajaan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak, terdapat mereka yang tidak bersyukur, mengambil bantuan itu dengan menyatakan bahawa itu adalah hak mereka sebagai rakyat.
"Kita bukan untuk menafikan hak berkenaan tetapi mereka juga perlulah berterima kasih kepada kerajaan," katanya.
Seramai 265,892 pelajar sekolah di Pahang menerima Bantuan Persekolahan RM100 membabitkan peruntukan RM26.58 juta yang akan diberikan secara berperingkat dan dijangka selesai 15 Februari depan.
Bantuan kali kedua di bawah Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu memperuntukkan dana RM540 juta bertujuan membantu perbelanjaan persekolahan pada awal tahun melibatkan 4.98 juta pelajar di seluruh negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment