My Add

Tuesday 8 January 2013

Kerjasama ekonomi sempadan Malaysia-Thailand perlu diperkukuh

KANGAR, ISNIN, 07 Januari, 2013: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu kerjasama ekonomi di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand diperkukuh melalui pelbagai ruang selain meningkatkan promosi bersama dalam sektor pelancongan.

Baginda bertitah, hubungan Malaysia dan Thailand begitu rapat, terutama bagi wilayah dan negeri yang bersempadan dan ia pastinya akan memudahkan kerjasama itu melalui komitmen dan strategi bersama.

Bertitah pada majlis menghadap delegasi pentadbiran daerah Sadao, Thailand yang diketuai oleh Timbalan Gabenor Songkhla, Surakphon Phanatamon di Galeri Diraja Istana Arau hari ini, baginda berharap bayangan negatif seperti ancaman keselamatan di wilayah dan negeri bersempadan perlu dipadamkan melalui usaha berterusan mengawal ancaman itu oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.

"Faktor keselamatan perlu menjadi keutamaan di kedua-dua negara," titah baginda kepada delegasi 25 pegawai kanan itu yang turut disertai oleh Pegawai Daerah Sadao, Chamlong Kraidith.

Baginda yakin, kunjungan para pegawai Thailand ke Perlis menjadi salah satu platform mengeratkan jalinan persahabatan di samping menyuburkan semangat saling memahami dalam pelbagai aspek termasuk agama, budaya, ekonomi dan sosial.

Tuanku Syed Faizuddin turut menekankan tentang pentingnya usaha mengurangkan halangan bahasa di sempadan melalui penggalakkan penggunaan bahasa perhubungan antarabangsa seperti bahasa Inggeris di samping penduduk Thailand perlu berusaha menguasai bahasa Melayu dan penduduk Malaysia pula bahasa Thailand.

"Halangan berbahasa menyukarkan proses berkomunikasi dan paling membimbangkan adalah kemungkinan berlaku penyaluran dan penerimaan maklumat yang kurang tepat di kedua-dua belah pihak," titah baginda.

Baginda turut berharap para peniaga yang beroperasi di sempadan supaya sentiasa mengamalkan budaya niaga yang bersih bagi membantu membangunkan ekonomi dan juga pelancongan.

Selain itu, menurut baginda, rakyat kedua-dua negara perlu diberi maklumat tentang kemudahan mendapatkan makanan halal dan masjid bagi para pelancong beragama Islam di sempadan kedua-dua negara.

Yang turut hadir Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron.

Dalam majlis tersebut, delegasi pentadbiran daerah Sadao turut diberi penerangan mengenai 'Kerusi Kepala Gajah' yang merupakan singgahsana Tuanku Raja Perlis yang pertama dan dipercayai antara yang tertua masih disimpan di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment