My Add

Tuesday 15 January 2013

Kes penipuan perbankan secara online di Malaysia menurun
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Bilangan kes penipuan secara online di Malaysia menurun sejak tahun lalu berikutan usaha berterusan oleh bank untuk memastikan keselamatan perkhidmatan e-perbankan.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahya berkata, sehingga tahun lalu, kerugian kerana penipuan perbankan menurun kepada RM3.2 juta berbanding RM3.4 juta sebelum ini.

"Walau pun jumlah itu kurang daripada 0.0026 peratus daripada transaksi RM15 trilion yang dicatatkan pada tahun lalu, kita masih perlu berhati-hati kerana penjenayah sentiasa mencari jalan baru menipu mangsa mereka," katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran e-Perbankan di sini, hari ini.

Kempen itu adalah usaha kerjasama yang diterajui oleh 13 bank komersil di negara ini, ahli bank utama Persatuan Perbankan Islam Malaysia, Keselamatan Siber Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Kempen selama enam bulan itu disasarkan di kalangan orang ramai mengenai perbuatan penipuan e-Perbankan semasa bagi membantu mereka mengelak menjadi mangsa.

Mesej kempen itu disalurkan melalui pelbagai platform pengiklanan seperti percetakan, elektronik dan media.

Bank juga akan menggunakan kehadiran online masing-masing bagi mengukuhkan kempen melalui paparan poster dan pengedaran risalah di rangkaian cawangan-cawangannya. 

Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata walau pun wujud lebih banyak kesedaran di kalangan orang ramai mengenai isu penipuan secara online, bank-bank berpendapat bahawa usaha memerangi penipuan sedemikian tidak leka.

"Kami menyedari keperluan untuk memberitahu orang ramai secara berterusan supaya mereka sentiasa menyedari dan mendapat maklum balas mengenai penipuan terbaru.

"Sebagai penyedia perkhidmatan bertanggung jawab sosial, bank membelanjakan jumlah wang yang banyak di dalam belanjawan tahunan masing-masing bagi memastikan keselamatan perkhidmatan e-perbankan yang ditawarkan," katanya.

Selain memastikan sistem keselamatan yang kemas kini dan langkah perlindungan bagi pelanggan, katanya bank juga sentiasa memantau serta bertukar idea dan dapatan bagi memastikan mereka selangkah di hadapan pihak penjenayah.

"Matlamat kami ialah untuk mewujudkan impak lebih meluas di dalam usaha memerangi penipuan e-perbankan supaya pelanggan tidak saja dilindungi malah dapat melaksanakan transaksi dengan lebih yakin," katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peruncitan CIMB, Bank Peter England menasihati pengguna perbankan online supaya menyedari tawaran yang "terlalu baik untuk dipercayai."

"Mereka tidak boleh terus memasuki pautan yang menyediakan e-mel atau berbuat demikian di khalayak ramai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment