My Add

Saturday 19 January 2013

Krisis bekalan air di KL dan Gombak selesai

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Januari, 2013:: Gangguan bekalan air yang menjejaskan kira-kira setengah juta pengguna di wilayah Gombak dan Kuala Lumpur sejak 29 Dis lepas, pulih sepenuhnya sejak semalam, menurut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som berkata, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning yang diaktifkan pada 1 Januari lalu di kedua-dua wilayah itu dibubarkan pada jam 6 petang semalam.

"Secara keseluruhannya status pemulihan bekalan air di kedua-dua wilayah itu 100 peratus pulih. Setakat ini SYABAS tidak menerima sebarang aduan berhubung gangguan bekalan air mahupun aduan permintaan bekalan air menerusi lori tangki daripada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Krisis bekalan air di kedua-dua wilayah itu bermula apabila berlaku kerosakan di rumah pam Wangsa Maju pada 29 Disember lalu dan kerosakan kedua dikesan berlaku di rumah pam yang sama pada jam 3.15 petang, 1 Januari.

Masalah ketiadaan air diburukkan lagi apabila rumah pam Pudu Hulu Baru juga mengalami kerosakan pada papan suis utama pada jam 1.30 tengah hari 1 Januari, dipercayai berlaku selepas kerja penyelengaraan pencawang elektrik berhampiran oleh Tenaga Nasional Berhad.

Abdul Halem berkata, sepanjang ERP diaktifkan, sebanyak 3,584 penghantaran bekalan air oleh lori tangki Syabas telah dibuat ke kawasan terjejas yang meliputi 3,003 penghantaran di wilayah Kuala Lumpur dan 581 penghantaran ke wilayah Gombak.

Katanya sebanyak 242 tangki air statik diletakkan di kawasan terjejas di kedua-dua wilayah berkenaan.

"Syabas ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pelbagai pihak khususnya dari syarikat air negeri-negeri serta petugasnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas Syabas dan kontraktor Syabas yang bertungkus lumus membantu pihak SYABAS menyelesaikan krisis air ini," katanya.

Abdul Halem berkata, pengguna yang mengalami kesulitan, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252, atau menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL aduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman sosial Facebook dan Twitter SYABAS dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment