My Add

Friday 4 January 2013

Mayat mendiang Kanang anak Langkau ditempatkan di Dewan Suarah esok

KUCHING, JUMAAT, 04 Januari, 2013: Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada pahlawan negara mendiang Datuk Temenggong Kanang anak Langkau boleh berbuat demikian esok di Dewan Suarah di sini.

Jabatan Penerangan Negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, berkata mayat mendiang akan dibawa ke dewan itu pada jam 8 pagi esok.

Kenyataan itu berkata, dua sesi penghormatan terakhir akan diadakan pada Sabtu dan satu sesi pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, mayat mendiang akan disemadikan di Kubur Pahlawan, Jalan Taman Budaya pada jam 3 petang Ahad, selepas upacara keagamaan di St Thomas Cathederal di sini pada jam 1 petang.

Menurut kenyataan itu, hari ini mayat mendiang dibawa dan ditempatkan di Dewan Bukavu, Kem Penrissen bagi membolehkan anggota keluarga terdekat mendiang memberi penghormatan terakhir.

Sementara itu, beberapa orang kenamaan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang hari ini, antaranya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Turut hadir, Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brig Jen Datuk Redzuan Baharuddin dan Komander Briged Kesembilan Infantri, Brigadier Jen Datuk Stephen Mundaw.
Dr Ahmad Zahid yang ditemui pemberita selepas itu, berkata, kehadiran beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya datang sebagai mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Jasa beliau bukan saja untuk Sarawak tapi untuk Malaysia keseluruhannya.

"Hari ini kita beri sumbangan permulaan kepada kepada balu mendiang, Datin Brawang Chunggot dan sumbangan melalui Yayasan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera akan berjalan sebagaimana amalan biasa kepada mana-mana balu kepada pegawai dan anggota tentera," katanya.

Sementara itu, Fadillah menyeru generasi muda untuk menghayati perjuangan yang dilakukan mendiang.

"Mendiang adalah seorang pejuang yang sudah membuktikan semangat juang mempertahankan negara dari komunis, dan yang penting laungan semangat 'Agi Idup Agi Ngelaban' patut menjadi laungan semangat kepada generasi kita untuk teruskan perjuangan walaupun kita bukan dalam peperangan, tapi demi mempertahankan dan memelihara kemerdekaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment