My Add

Sunday 27 January 2013

Media AS beri liputan meluas


*ISMAILl Haniyeh (kanan) menyampaikan replika cenderahati kepada Najib semasa Perdana Menteri Malaysia itu melawat pejabat Haniyeh di Gaza City pada 22 Januari lalu. - AFP

NEW YORK, SABTU, 26 Januari, 2013: Media Amerika Syarikat (AS) di bahagian pantai timur memberi liputan meluas lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Genting Gaza di bawah pentadbiran Hamas, baru-baru ini.

Banyak laporan berita memaparkan gambar Najib, memakai jaket hitam dan seluar kuning air tetapi tanpa tali leher, tiba di Gaza untuk melihat sendiri situasi di wilayah Palestin itu.

Bagaimanapun, banyak akhbar itu melaporkan lawatan Najib itu telah dipergunakan oleh Hamas untuk memperlihatkannya sebagai “pendirian menentang Israel".

Malahan, New York Times dalam laporannya menggunakan kapsyen “Hamas Paints Malaysian Premier’s Visit as a Stand Against Israel" (Hamas Gambarkan Lawatan Perdana Menteri Malaysia Sebagai Pendirian Menentang Israel), menggunakan gambar menunjukkan Najib sedang keluar dari kereta sebaik-baik beliau tiba di Gaza City.

Menurut laporan New York Times, walaupun Najib menyifatkan lawatannya ke Gaza sebagai misi kemanusiaan, Hamas memilih untuk menggambarkannya sebagai “pendirian ingkar" terhadap sekatan Israel di Gaza.

“Ini merupakan deklarasi Islam untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza," kata Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Hamas, semasa menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman di Rafah, yang terletak antara sempadan Gaza dan Mesir.

Walaupun sekatan itu baru-baru ini dilonggarkan sedikit, kebanyakan eksport dari Gaza masih dilarang dan keadaan itu telah mengakibatkan perdagangan luarnya terjejas teruk.

Lawatan Najib turut dilaporkan penerbitan lain seperti World Politics Review, laman web dasar luar berpejabat di Washington DC.

Media AS dalam liputan mereka pada umumnya menyatakan walaupun Najib menyifatkan ia merupakan lawatan kemanusiaan, tuan rumah cuba menunjukkannya sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap Hamas.

Lawatan Najib itu juga dilakukan tatkala Israel sibuk dengan pengundian bagi pilihan raya Parlimen.

Haniyeh menyifatkan lawatan Najib sebagai “respons rakyat Palestin, Arab dan Islam" terhadap lawatan pada Selasa lepas oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Western Wall di Baitulmaqdis, menurut laporan New York Times.

Haniyeh dipetik sebagai menggelar Western Wall, dikenali sebagai Al Buraq dalam kalangan umat Islam, sebagai “dinding Arab dan Islam", dan menambah kata “Baitulmaqdis adalah Islam".

Dalam lawatan lima jam ke Gaza, Najib turut meletakkan batu asas sebuah kolej perindustrian yang dibiayai Malaysia dan juga menandatangani perjanjian dengan kerajaan Hamas bagi pembinaan semula pejabat perdana menteri, yang musnah dalam serangan Israel ke atas Gaza pada November lalu.

Media AS juga melaporkan gesaan Najib kepada rakyat Palestin supaya berdamai, dan berharap rundingan baru-baru ini antara Hamas dan Fatah, yang mengawal Tebing Barat akan membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment