My Add

Tuesday 15 January 2013

Militan Islam tawan Diabaly

*TENTERA Perancis bersiap sesia menaiki pesawat di N'Djamena, Chad pada 12 Januari lalu menuju ke Mali. - REUTERS

BAMAKO, ISNIN,, Mali 14 Januari, 2013: Kumpulan militan Islam berjaya menawan pekan Diabaly di tengah Mali, hari ini walaupun dihujani dengan pengeboman oleh pesawat-pesawat pejuang Perancis.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian, sambil berkata, ''Pemberontak diketuai al-Qaeda menawan Diabaly selepas berlaku pertempuran sengit dengan tentera kerajaan Mali.''

Katanya, kumpulan militan Islam turut berjaya menawan beberapa wilayah di Mali dan sedang menuju menghampiri ibu kota Bamako.

Tentera Mali gagal bertahan dan banyak pekan telah jatuh ke tangan pemberontak sejak pemberontakan berlaku di negara barat laut Afrika ini.

Pasukan tentera Perancis yang mula menyertai perang di Mali pada Jumaat lalu memperluaskan serangan udara ke atas militan Islam yang menguasai wilayah utara Mali, termasuk serangan udara pertama di tengah Mali.

Seorang komander Mali dekat bandar Niono berkata, pengebomanan oleh pesawat pejuang Perancis tidak menghalang militan Islam mara dan menawan pekan Alatona, dan hari ini mereka berjaya sampai ke jalan utara-selatan yang menghubungkan pekan Diabaly ke Segou, pusat pentadbiran tengah Mali.

Dalam perkembangan lain, Le Drian berkata, seorang komander tentera Perancis yang hilang dalam operasi menyelamatkan tebusan warga Perancis di Somalia pada Jumaat lalu dilaporkan terbunuh.

Pertubuhan perubatan kemanusiaan antarabangsa Doctors Without Borders berkata, 12 orang cedera dalam konflik itu dan sedang dirawat oleh pasukan itu di sebuah hospital di Timbuktu, kira-kira tujuh jam dari zon konflik.

Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, Perancis menghantar 550 anggota tentera Perancis ke Mali, yang kini diumpamakan seperti 'Afghanistan Afrika'.

Perancis menggunakan jet pejuang Mirage yang berpangkalan di Chad, yang mampu membawa bom 250-kilogram.

Perancis juga menggunakan helikopter Gazelle dan jet Rafale yang berpangkalan di Perancis.

Britain turut menghantar beberapa pesawat pengangkut C-17 untuk membantu Perancis membawa lebih banyak anggota tentera.

Amerika Syarikat pula menghantar pesawat drone, serta bantuan sokongan komunikasi dan logistik.

Jerman turut menyatakan akan menghantar tentera untuk membantu Perancis dalam operasi di Mali. - AGENSI

No comments:

Post a Comment