Muhyiddin yakin rakyat Sarawak terus sokong BN dalam PRU-13
KUCHING, ISNIN, 28 Januari, 2013:: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat Sarawak akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Beliau berkata, keyakinan terbabit berdasarkan hasil laporan yang diterima dalam taklimat tertutup persiapan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diadakan di sini, malam tadi.
"Saya tidak ragu dan lihat di negeri ini (Sarawak) hubungan rakyat dan kerajaan BN amat kuat sekali, kita mampu pertahankan kedudukan kita berdasarkan laporan yang saya terima semalam dari pimpinan di peringkat negeri berkenaan situasi semasa," katanya dalam ucapan pada majlis santai bersama penduduk Kampung Sungai Apong Baru di Dewan Masyarakat kampung berkenaan di sini, hari ini.
Muhyiddin turut meminta kerjasama antara rakyat Sarawak dan kerajaan BN diperkukuhkan lagi bagi mengekang usaha berterusan pembangkang menyebar dakyah memburuk-burukkan kerajaan.
"Kita tahu pembangkang akan bawa macam-macam cerita tidak betul dan memfitnah kerajaan serta pemimpin BN, ini tindakan terdesak mereka lakukan kerana kita sudah dekat dengan pilihan raya.
"Saya memberi jaminan dengan sokongan rakyat, usaha memajukan negara akan diteruskan, dan Sarawak akan menjadi antara negeri terpenting dalam usaha pembangunan tersebut," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment